Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Esok menjadi detik penentuan buat Datuk Lee Chong Wei (gambar) sama ada boleh mengambil bahagian pada Seluruh England atau sebaliknya selepas satu mesyuarat skuad Projek Khas diketuai jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan.

Menurut Hendrawan, beliau akan berbincang dengan seorang lagi jurulatih perseorangan lelaki negara Tey Seu Bock, fisioterapi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Sandra Fiedler serta Chong Wei sendiri sebelum membuat keputusan muktamad.

“Selasa ini (esok) kami akan putuskan sama ada dia (Chong Wei) boleh pergi atau tidak (ke Seluruh England),” katanya kepada Arena Metro semalam.

Jelasnya, sukar untuk memberi gambaran mengenai situasi dan kecergasan Chong Wei yang bergelut dengan proses pemulihan kecederaan ligamen lutut kiri kerana sepanjang minggu lalu beliau berada di Ipoh menghadiri Kejohanan Kebangsaan.

“Mungkin Seu Bock (Tey) boleh memberi gambaran mengenai tahap kecergasan Chong Wei setakat ini. Saya rasa kami perlu tunggu Selasa ini senang untuk saya memberi jawapan,” kata jurulatih dari Indonesia itu.

Hendrawan yang dilantik mengetuai Projek Khas juga akan mengadakan mesyuarat sulung hari ini bagi mengatur pembahagian tugas untuk pasukan itu yang menyenaraikan enam pemain Chong Wei, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soo Teck Zhi, Soong Joo Ven, Chong Yee Han dan juara kebangsaan Lim Chi Wing.

Sebelum ini Hendrawan memberitahu media mereka perlu menunggu saat akhir untuk mengesahkan penampilan Chong Wei dalam kejohanan sulungnya tahun ini apabila pemain itu mengalami kecederaan ligamen lutut 4 Februari lalu selepas tergelincir berikutan permukaan gelanggang licin di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Sejak dari itu hingga sekarang Chong Wei terpaksa melakukan proses pemulihan kecederaan di bawah pemantauan Sandra dan minggu lalu dia buat kali pertama dapat menjalani latihan seperti biasa menggunakan keseluruhan gelanggang.

Seluruh England di Birmingham akan berlangsung 7 hingga 12 Mac ini dan berdasarkan undian, Chong Wei yang juga pemain nombor satu dunia akan berdepan pemain dari peringkat kelayakan di pusingan pertama.

Turut beraksi di Seluruh England adalah Zulfadli Zulkiffli (perseorangan lelaki), Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (beregu lelaki), Vivian Hoo-Woon Khe Wei (beregu wanita), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (beregu campuran).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 8:21 AM
Digital NSTP Subscribe