MOURINHO menjulang Piala Liga Inggeris.
MOURINHO menjulang Piala Liga Inggeris.
AFP

London: Jose Mourinho mencabar bintang Manchester United untuk memanfaatkan kemenangan ke atas Southampton pada final Piala Liga sebagai batu loncatan meraih kejayaan lebih besar.

Mourinho menjulang trofi pertama sebagai pengurus United awal pagi semalam selepas tandukan babak akhir Zlatan Ibrahimovic memastikan kemenangan 3-2 di Wembley.

Pengurus berusia 54 tahun itu adalah jurulatih pertama United menjulang gelaran utama pada musim sulungnya di Old Trafford dan gelaran ke-19 sepanjang karier cemerlang beliau menjadikannya pengurus ketiga selepas Alex Ferguson dan Brian Clough meraih empat kejuaraan Piala Liga.

Kini Mourinho mahu pemainnya mempelajari sesuatu daripada kemenangan itu ketika mereka memburu Piala FA dan Liga Europa musim ini dan seterusnya cemerlang di Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara musim depan.

“Realitinya, kami mahukan lebih lagi. Kontrak saya masih panjang. Saya mempunyai dua tahun lagi di sini dan berharap dapat menang lebih banyak lagi,” kata Mourinho.

“Saya sedar musim ini agak mencabar tapi realitinya kami perlu berjuang untuk menang lebih banyak.”

Di sebalik kejayaan bersejarah itu, Mourinho tidak menunjukkan kegembiraannya sewaktu penyampaian trofi.

Namun beliau menegaskan, beliau menyembunyikan rasa bangganya kerana mahu pemainnya menikmati sepenuhnya kejayaan itu.

“Saya amat gembira. Saya sentiasa meletakkan diri saya di tempat kedua. Ia penting buat peminat, kelab dan pemain tapi ia juga penting buat saya,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 7:43 AM