BARANGAN dan wang yang dirampas polis. FOTO ihsan Polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Lawas: Suami isteri serta anak lelaki yang dipercayai pengedar dadah ditahan polis di restoran dan pelbagai harta dan wang dirampas, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN ) Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, suspek berusia 34 hingga 58 tahun itu ditahan ketika sedang menjamu selera di restoran di Lorong Rancha Umong di sini pada 7.15 malam.

Menurutnya, penahanan suspek membawa kepada rampasan pelbagai kenderaan, barang kemas, telefon bimbit dan wang termasuk mata wang asing yang dianggarkan bernilai RM624,729.

"Suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu dipercayai mengedar dadah jenis syabu di sekitar Lawas sejak setahun lalu.

"Mereka ditahan reman selama 60 hari mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 10:56 AM