DUA pengarah syarikat kereta terpakai, Sulaiman (kiri) dan Mohd Dani Firdaus di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Dua pengarah syarikat kenderaan terpakai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap 15 pertuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi Mei 2015 hingga Jun 2016.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Dani Firdaus Sulaiman, 35, dan Sulaiman Hussin, 61, yang juga anak beranak didakwa gagal mengemukakan penyata dalam tempoh ditetapkan bagi tempoh bercukai sepanjang tempoh berkenaan.

Kedua-duanya yang juga orang kena cukai di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 melakukan perbuatan itu di Cawangan GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Batu Pahat.

Bagi semua pertuduhan yang dibacakan bersama itu, mereka didakwa gagal mengemukakan penyata GST sebagaimana yang ditetapkan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 41 (6) akta yang sama dan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM, Wan Arissa Wan Rosli di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.

Mahkamah menetapkan 27 Mac ini tarikh sebutan semula bagi kes saman berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 11:18 AM