Najiy Jefri


Kuala Lumpur : Pelakon dan penerbit popular, Datuk Hans Isaac, 46, mengumumkan akan menamatkan zaman bujangnya dengan wanita pilihan yang juga bekas pemenang Miss Tourism International 2012, Gabriella Robinson, 28, pada 29 Julai ini.

Hans dalam sidang media yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, berkata, majlis itu akan diadakan di gereja St John di sini dan mereka melangsungkan pertunangan pada 29 Januari lalu.

"Saya melamar Gabriella pada Januari lalu di gereja The Good Shepherd di Singapura. Sebenarnya gereja itu sangat istimewa kerana ibu bapa saya melangsungkan perkahwinan di situ.

“Sebelum ini saya memang tiada niat untuk merahsiakan perkara ini dan mengelak setiap pertanyaan media. Namun, apabila semua dirancang berjalan lancar barulah saya nekad mengumumkannya hari ini," katanya.

Hans berkata, dia mula berkenalan dengan Gabriela pada 2011 dan pertemuan mereka bermula sebagai seorang kenalan.

“Ketika itu, saya menjadi juri untuk pertandingan Miss Tourism International yang turut disertai Gabriella. Namun, selepas itu kami tidak pernah bersua.

“Selepas beberapa tahun, kami berjumpa kembali dan berkawan. Kami mula rapat dan menjalin hubungan yang lebih serius sejak setahun lalu,” katanya.

Hans berkata, mereka mengambil masa agak lama untuk berkenalan dan selepas itu barulah dia yakin Gabriella adalah wanita yang sesuai dengannya.

"Dia seorang yang merendah diri dan saya sudah bersedia untuk membina keluarga bersamanya," katanya.

Sementara itu, Gabriella berkata, dia tertarik untuk memilih Hans kerana memenuhi ciri-ciri lelaki idamannya.

"Walaupun dia sibuk bekerja, tetapi Hans seorang yang sangat mengutamakan keluarga. Saya juga suka sifatnya yang sangat romantik dan pandai mengambil hati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 4:34 PM