Anggota APM bersama tedung selar yang berjaya ditangkap sebelum memasuki kawasan asrama sekolah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Padang Terap: Ular tedung selar sepanjang kira-kira tiga meter ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Padang Terap di kawasan pagar Sekolah Menengah Naka, di sini petang semalam.

Kehadiran reptilia berbisa itu disedari tukang kebun sekolah berkenaan jam 5 petang yang ternampak haiwan terbabit mengejar biawak di kawasan itu sebelum bersembunyi di bawah longgokan sampah.

Tukang kebun berusia 50-an itu menghubungi APM Padang Terap memaklumkan kehadiran ular berkenaan kerana bimbang ia akan memasuki asrama pelajar sekolah itu.

Ketua Operasi APM Padang Terap, Abdul Satar Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 5.15 petang dan menangkap ular seberat 12 kilogram itu menggunakan penjerut dengan bantuan dua anggota lain dalam masa 10 minit.

“Ular ini akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut dan buat sementara ini ia disimpan di pejabat APM Padang Terap," katanya ketika ditemui hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 8:16 PM