Awie sahkan Joe berundur daripada Wings. FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ (Gambar fail)
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Selepas lama berteka-teki, penyanyi Wings, Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie, 49, mengesahkan pemain gitar mereka, Joe sudah berundur daripada kumpulan itu.

Awie ketika ditemui berkata, mereka kini kekal bertiga bersama Eddie (bass) dan Black (dram).

“€œPengunduran Joe tak akan melemahkan Wings. Lagipun ramai pemuzik di luar yang berbakat yang boleh bersama kami," katanya yang ditemui pada sidang media Konsert Wings & Superfriends- Belenggu Irama di Istana Budaya, di sini, hari ini.

Sebelum ini, berita pengguguran Joe tular di Internet sejak tempatnya digantikan Edrie Hashim pada satu konsert Wings yang berlangsung di Melaka, hujung tahun lalu.

Krisis antara mereka tercetus berikutan dakwaan mengatakan Joe adalah punca Wings terpaksa membatalkan Konsert 30 Tahun Wings yang sepatutnya berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Disember tahun lalu.

Awie bagaimanapun enggan mendedahkan punca masalah terbabit dan enggan mengulas apabila ditanya.

"Kami sudah saling memaafkan dan hanya masa yang akan menentukan sama ada Joe akan kembali.Kalau dia nak buka mulut, itu terpulanglah. Saya dan Black juga pernah keluar dari Wings dan kumpulan ini kekal bertahan.

"Wings adalah satu jenama dan kekuatannya bukan terletak pada individu," katanya.

Menurut Awie,keempat-empat mereka juga sudah bersemuka dan nekad dengan keputusan yang diambil.

"Kalau peminat nak kecewa, apa boleh buat tetapi hidup perlu diteruskan. Saya ingin tegaskan Wings dibentuk oleh kekuatan sendiri dan bukan oleh mana-mana individu.

Bagi konsert di Istana Budaya yang akan berlangsung pada 6 hingga 9 April ini, kami akan bekerjasama dengan penyusun muzik yang terdiri daripada barisan pemain gitar hebat tanah air," katanya.

Awie berkata, proses keluar masuk anggota mana-mana kumpulan rock adalah perkara biasa di seluruh dunia.

Ditanya mengenai konsert di Sabah yang dibatalkan, Awie berkata, mereka akan meneruskannya tapi dalam skala yang lebih kecil.

“Kami kini sedang mencari lokasi dan tarikh yang sesuai," katanya.

Awie berkata, mereka tidak mahu mengecewakan peminat di sana dan tidak mahu dituduh menipu peminat.

"Insya-Allah Wings akan tampil dengan single terbaru nanti yang berbeza dengan muzik sebelum ini.Untuk persembahan, kami kini menggunakan khidmat pemain gitar undangan iaitu bekas pemain gitar Wings iaitu Sham serta Edrie Hashim dan Rodi Kristal," katanya.

Sementara itu, usaha Harian Metro untuk menghubungi Joe bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara ini tidak berjaya apabila telefon bimbitnya dimatikan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 9:39 PM