Nor Akmar Samudin


Kuala Lumpur: "Anak-anak masih terkejut dan bersedih. Mereka sudah mula rindu dan berasakan ketiadaaan ibu mereka ketika jenazah dimandikan," kata Shahrul Nizam Shahruddin, 46, suami kepada pelakon dan pengacara Ary Malik yang meninggal dunia di Hospital Ampang, di sini, akibat kanser ovari tahap empat, 7.17 malam tadi.

Shahrul Nizam berkata, dia dan tiga anaknya berasakan satu kehilangan besar kerana Ary seorang isteri dan ibu yang sangat penyayang dan disayangi ramai.

"Saya hilang sesuatu yang besar dalam hidup saya. Sepanjang kami hidup bersama, saya banyak belajar mengenai kehidupan.

"Saya ucapkan terima kasih atas doa dan ucapan takziah buat kami sekeluarga," katanya.

Ary atau nama sebenarnya Nurita Maliha Aryanee Malik Abdul Malik menghembus nafas terakhir di sisi keluarga selepas tiga hari dirawat di hospital berkenaan.

Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Kem Wardieburn, di sini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, malam ini.

Ary meninggalkan tiga anak iaitu Nur Zoe Iman Malik, 19; Dinda Pelangi Timor Malik, 13; dan Ratu Chinta Mecca Malik, 11.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 10:57 PM
Shahrul dan anaknya di Masjid Kem Wardieburn. FOTO Thomas
Shahrul dan anaknya di Masjid Kem Wardieburn. FOTO Thomas