Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


Kuantan: Pusat sembelihan ayam diserbu selepas beroperasi tanpa tauliah penyembelihan di Jalan Kuantan-Segamat di sini, hari ini.

Serbuan 2 pagi dijalankan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mendapati semua pekerja sembelihan di pusat itu tidak memiliki tauliah dikeluarkan JAIP walaupun sudah beroperasi sejak lapan tahun lalu.

Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAIP, Badaruddin Ahmad Bustami berkata, sebelum ini pemilik pusat berkenaan pernah memohon sijil pentauliahan sembelihan untuk pekerjanya namun ditolak jabatan agama itu atas alasan gagal memenuhi kriteria kebersihan.

"Pemeriksaan mendapati pusat sembelihan ini masih gagal mematuhi tahap kebersihan ditetapkan selain tidak mempunyai sijil tauliah sembelihan ayam," katanya kepada pemberita selepas tamat pemeriksaan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati ayam yang disembelih di pusat itu menggunakan kaedah yang menepati syarak yang mana memutuskan urat marih dan halkum menggunakan senjata tajam namun gagal memperoleh sijil pentauliahan JAIP atas alasan kebersihan di kawasan sembelihan.

Tinjauan wartawan bersama pegawai dan anggota JAIP mendapati pusat sembelihan itu turut beroperasi dalam keadaan menjijikkan apabila sisa dan organ dalaman haiwan itu disimpan bersama ayam yang sudah disembelih di dalam bilik beku yang dikunci.

Pemeriksaan mendapati rata-rata peralatan digunakan tidak dibersihkan dengan baik selain kawasan penyembelihan itu sendiri yang tidak dicuci selepas proses sembelihan dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 9:44 AM
ANGGOTA JAIP memeriksa ayam yang disimpan di dalam bilik beku pusat sembelihan berkenaan. FOTO Azim Fitri