SAMSUNG Pay kini boleh digunakan pengguna telefon pintar Samsung di Malaysia.
DARI kiri Pengarah Samsung Pay Samsung Electronics, Dan Seung Han, Naib Presiden Perniagaan Pembayaran Kumpulan Samsung Electronics, Elle Kim, Presiden Samsung Malaysia Electronics, Lee Sang Hon dan Jui Siang pada majlis pelancaran Samsung Pay di sini, baru-baru ini.
PENGGUNA hanya perlu meletakkan telefon pintar masing-masing berdekatan terminal pembayaran elektronik yang memiliki teknologi NFC.
PENGGUNA telefon pintar hanya perlu meleretkan kad maya bank masing-masing melalui telefon pintar sebelum melakukan urusan pembelian.
SELEPAS meleretkan ikon kad maya bank di telefon pintar, pengguna hanya perlu mengesahkan pembelian melalui imbasan cap jari sebelum sensor di telefon mengesan isyarat daripada terminal pembayaran elektronik.
JIKA pembelian melalui perkhidmatan Samsung Pay berjaya, maka resit pembayaran dikeluarkan melalui terminal pembayaran elektronik.
JIKA terminal pembayaran tidak memiliki ciri-ciri NFC, mereka turut boleh melakukan pembelian dengan meletakkan telefon pintar (meleret) berdekatan dengan bahagian di terminal yang boleh mengesan ciri-ciri teknologi MST.
PERKHIDMATAN Samsung Pay hanya boleh digunakan melalui telefon pintar Galaxy S7 dan S7 edge, S6 edge+, Note5, Galaxy A5 dan A7.
Sofyan Rizal Ishak


Mudah dan selamat. Itu adalah kesimpulan paling sesuai untuk menggambarkan Samsung Pay iaitu perkhidmatan pembayaran mudah alih yang baru dilancarkan pada minggu lalu oleh Samsung Malaysia Electronics.

Perkhidmatan yang mula ditawarkan di negara asal jenama Samsung iaitu Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) dua tahun lalu itu kini boleh digunakan secara rasmi oleh pengguna telefon pintar Samsung di Malaysia.

Pelancaran itu adalah satu usaha Samsung Electronics Co Ltd untuk meluaskan lagi pengenalan Samsung Pay di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik selepas pelancaran di Australia, Singapura dan Thailand, baru-baru ini.

Selain negara terbabit, Samsung Pay boleh didapati di empat lagi negara iaitu Sepanyol, China, Puerto Rico dan Brazil.

Naib Presiden Unit Perniagaan Teknologi Maklumat dan Mudah Alih Samsung Malaysia Electronics, Lee Jui Siang berkata, perkhidmatan itu adalah sejajar usaha Malaysia untuk beralih kepada penggunaan pembayaran elektronik, sekali gus mewujudkan masyarakat tanpa tunai pada masa akan datang.

Menurutnya, Samsung Pay bukan sahaja menyokong perubahan ke arah konsep dompet elektronik, malah menyediakan bukti kukuh dan kondusif bagi pembayaran elektronik yang selamat di Malaysia.

“Kami optimis pengguna di Malaysia berminat dan bersedia untuk menggunakan pembayaran mudah alih di Malaysia melalui kemudahan Samsung Pay yang selamat dan mesra pengguna,” katanya pada pelancaran Samsung Pay di sini, baru-baru ini.

Untuk meluaskan ekosistem Samsung Pay di Malaysia, Samsung Malaysia Electronics menjalinkan kerjasama strategik dengan beberapa bank terkemuka termasuk Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Bank Bhd (CIMB), Citibank Bhd (Citibank), Standard Chartered Bank Bhd (Standard Chartered) dan Hong Leong Bank Bhd (Hong Leong Bank).

Kerjasama itu adalah rentetan usahama dijalankan dengan Maybank sebelum ini yang memperkenalkan perkhidmatan Samsung Pay dalam versi beta, Januari lalu.

Dalam masa sama, pengenalan Samsung Pay turut meluaskan lagi kerjasama sedia ada antara Samsung Malaysia Electronics dengan rangkaian pembayaran utama iaitu Mastercard dan Visa serta rakan kad kesetiaan tempatan iaitu B Infinite, Bonuslink dan Sunway Pals.

Beliau berkata, pihaknya mengambil pendekatan lebih fokus dalam melancarkan Samsung Pay di Malaysia sama seperti pasaran lain sebelum ini bagi menjadikan pembayaran mudah alih yang selamat sebagai satu realiti kepada pengguna.

“Kami berusaha memastikan Samsung Pay dapat memenuhi keperluan dan kecenderungan pasaran tempatan dengan memperkenalkan perkhidmatan tambah nilai tertentu seperti kad kesetiaan di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, syarikat merancang untuk lebih agresif dalam bertemu peniaga, menyediakan latihan kepada juruwang mereka dan tanda penerimaan mata jualan masing-masing.

“Kami amat berbangga kerana dapat menjalinkan kerjasama dengan institusi perbankan dan peniaga serta menjangkakan lebih banyak penyertaan daripada kedua-dua pihak ini serta jenama kesetiaan tidak lama lagi,” katanya.

Samsung Pay adalah perkhidmatan pembayaran mudah alih yang membolehkan pengguna telefon pintar melakukan aktiviti pembelian melalui fasiliti pembayaran elektronik secara lebih mudah, selamat dan senang didapati di mana sahaja.

Pengguna hanya perlu meleret atau meletakkan kad maya ditetapkan mereka sendiri dalam aplikasi Samsung Pay kepada terminal pembayaran yang terdapat di lokasi peniaga.

Apa paling menarik, Samsung Pay menggabungkan dua teknologi iaitu Near Field Communication (NFC) dan Magnetic Secure Transmission (MST) yang membolehkan pengguna melakukan pembayaran elektronik di mana-mana sahaja.

Ini kerana pengguna boleh melakukan pembayaran dengan cara meletakkan (tap) telefon pintar mereka berdekatan terminal pembayaran dilengkapi fungsi NFC atau secara meleret terhadap terminal dilengkapi MST.

Secara lazimnya, pengguna tidak akan mengalami masalah ketika melakukan bayaran kerana peniaga memiliki terminal pembayaran terkini dilengkapi fungsi NFC dan MST atau terminal yang hanya memiliki fungsi MST.

Untuk Malaysia, Samsung Pay boleh didapati bagi pengguna telefon pintar model Galaxy S7 dan S7 edge, S6 edge+, Note5, Galaxy A5 dan A7.

Sebelum menggunakan telefon pintar terbabit untuk pembayaran, pengguna perlu menetapkan aplikasi Samsung Pay dengan memeriksa kesesuaian kad bank masing-masing melalui laman web www.samsung.com.my.

Selepas itu, mereka perlu log masuk dalam akaun Samsung dan mewujudkan nombor PIN baru serta mendaftarkan cap jari dan mengimbas kad bank sebelum mengesahkan kad dengan pihak bank hanya melalui telefon pintar.

Mereka boleh mendaftarkan sehingga 10 kad milik mereka sama kad bank, kad Visa atau Mastercard dan kad kesetiaan dalam aplikasi Samsung Pay.

Untuk melakukan pembelian pula, mereka hanya perlu meleret aplikasi Samsung Pay di telefon pintar yang memaparkan kad bank maya sebelum terus melakukan pengesahan melalui cap jari.

Seterusnya, pengguna hanya perlu meletakkan telefon pintar berdekatan dengan terminal pembayaran dengan ciri NFC atau meleretkan di terminal dilengkapi MST bagi menyelesaikan bayaran sebelum resit dikeluarkan.

Sehingga kini, aplikasi Samsung Pay hanya menyokong penggunaan kad kredit, debit dan tambah nilai Maybank Visa, kad kredit CIMB Mastercard, kad kredit Visa dan Mastercard Citibank serta Standard Chartered.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 11:13 AM