Muhammad Sufi (kiri) dan Faizoull didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pecah amanah jenayah ke atas dana FELDA membabitkan jumlah sebanyak RM47.6 juta, tiga tahun lalu. FOTO Saddam Yusoff.
Nor Azura Abdul Jalil


Kuala Lumpur: Dua bekas pegawai kanan FELDA mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, masing-masing atas dua pertuduhan pecah amanah dan bersubahat melakukan pecah amanah dana organisasi itu membabitkan nilai RM47.6 juta, tiga tahun lalu.

Bekas Timbalan Pengarah Besar (Sumber Strategik), Muhammad Sufi Mahbub, 53, dan bekas Pengarah Besar, Datuk Faizoull Ahmad, 57, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka secara berasingan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Muhammad Sufi didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana organisasi itu iaitu dengan curang melupuskan wang dan meluluskan pembayaran masing-masing berjumlah RM25,999,000 dan RM21,625,500 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah FELDA atau Jawatankuasa Tender FELDA.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Faizoull didakwa atas dua pertuduhan masing-masing bersubahat dengan Muhammad Sufi melakukan perbuatan yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dibaca dengan Seksyen 409 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semua pertuduhan terhadap mereka didakwa dilakukan di Bangunan Wisma FELDA, Jalan Perumahan Gurney, di sini antara 13 Januari 2014 hingga 23 Julai 2014.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM1 juta setiap seorang dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport mereka perlu diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 27 April ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 12:28 PM