Ahmad diiringi Saiful Baharin melawat kawasan yang musnah dalam kebakaran di Kampung Jal Besar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Ahmad diiringi Saiful Baharin melawat kawasan yang musnah dalam kebakaran di Kampung Jal Besar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Tumpat: Madrasah al-Badriah, Kampung Jal Besar, di sini, yang musnah dalam kebakaran, malam semalam, menerima sumbangan RM400,000 daripada kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Sumbangan disampaikan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Azlan Abd Hadi, hari ini.

Kedua-duanya turut meluangkan masa melawat sisa pondok yang terbakar dalam kejadian jam 8.15 malam itu.

Ahmad berkata, Yayasan Kelantan Darul Naim dan Tabung Serambi Mekah menyampaikan sumbangan sebanyak RM100,000.

"Pihak kerajaan negeri prihatin dengan nasib yang menimpa pelajar dan juga pemilik pondok di sini, dan saya berharap sumbang diberikan dapat menampung sedikit kerugian dialami.

"Saya juga berharap kejadian yang menimpa pondok ini dapat dijadikan pengajaran oleh pondok lain serta aspek keselamatan perlu diutamakan," katanya.

Sementara itu, MAIK menyumbang RM230,000 yang diserahkan kepada Mudir Madrasah, Saiful Baharin Che Ali untuk tujuan pembinaan tambahan pondok itu.

Baki RM70,000 diserahkan kepada 70 pelajar yang terjejas dengan masing-masing menerima RM1,000 sebagai bantuan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 6:42 PM