Penulis blog dihadapkan ke mahkamah bagi mendapatkan sambungan perintah reman di Mahkamah Majistret Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Penulis blog direman tiga hari selepas ditahan semula semalam, bagi siasatan lanjut berhubung kenyataan berunsurkan fitnah dan hasutan terhadap kepimpinan negara.

Perintah reman terhadapnya dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Faridatul Farrah Mohd Shukri bermula hari ini hingga Jumaat bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

Suspek lelaki berusia 64 tahun itu tiba di Mahkamah Majistret di sini, kira-kira jam 3.45 petang dengan berpakaian lokap berwarna jingga.

Dia sebelum ini ditahan kerana disyaki menyebarkan kenyataan jelik dan fitnah mengenai kes kemalangan maut membabitkan remaja berbasikal yang berlaku di daerah ini.

Ahad lalu, suspek lelaki itu direman tiga hari bersama seorang ahli politik bergelar Datuk bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Tempoh tahanan reman terhadap kedua-dua mereka tamat semalam sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Bagaimanapun, polis yang menerima laporan berhubung kenyataan berunsurkan fitnah dan hasutan terhadap kepimpinan negara pada jam 3.06 petang semalam, menahan semula penulis blog itu yang disyaki individu bertanggungjawab membuat kenyataan terbabit melalui laman blog.

Suspek ditahan semula di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di sini, kira-kira 3.30 petang semalam sebelum dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 7:04 PM