Ahmad Razif bersama penerima anugerah Malam Anugetah Sukan Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, malam tadi. Foto Zaid Salim


Kuala Nerus: Pemenang pingat gangsa acara keirin Sukan Olimpik Rio 2016, Mohd Azizulhasni Awang dinobatkan sebagai Olahragawan Terengganu 2015/2016 sekali gus mengekalkan anugerah diterimanya pada 2013/2014.

Bagi anugerah olahragawati pula menjadi milik atlet pencak silat Siti Rahmah Mohamad Nasir.

Anugerah itu disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman pada Malam Anugetah Sukan Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, malam ini.

Mohd Azizulhasni menewaskan empat calon lain iaitu Mohamad Fairus Abd Jabar (lawn bowls), Razak Ghazali (pencak silat), Mohd Hafifi Mansor (angkat berat) dan Mohd Nafiizwan Mohd Adnan (skuasy).

Siti Rahmad pula menewaskan tiga calon iaitu Fatehah Mustafa ( basikal), Alia Sazana Azhari (menembak) dan atlet bolajaring, Siti Nor Farhana Mustafa.

Olahragawan dan olahragawati masing-masing meraih hadiah wang tunai RM7,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil kepujian.

Bagi olahragawan dan olahragawati harapan pula menjadi milik atlet Muay Thai, Mohammad Azizi Shamsuddin dan pemain golf, Nur Durriyah Daman.

Masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM2,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil kepujian manakala RM1,000 kepada persatuan sukan diwakilinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 1:00 AM