HANS yakin Gabriella jodoh terbaik buatnya.
HANS yakin Gabriella jodoh terbaik buatnya.
Najiy Jefri


Siapa sangka perkenalan pelakon dan penerbit Datuk Hans Isaac, 46, dengan pemenang Miss Tourism International 2012, Gabriella Robinson, 28, pada tahun 2011 membibitkan rasa cinta di antara mereka.

Pasangan ini semakin rapat tahun lalu dan dek keserasian serta keterbukaan berkongsi rasa hati, mereka mula menyulam cinta malah berikrar sehidup semati.

Kelmarin, pasangan ini mengumumkan bakal melangsungkan perkahwinan pada 29 Julai depan.

Pada sidang media di sebuah hotel di ibu kota, Hans menjelaskan majlis terbabit akan diadakan di gereja St John, Kuala Lumpur.

Hans berkata, dia mula berkenalan dengan Gabriella pada 2011 dan bertunang pada 29 Januari lalu.

“Ketika itu, saya menjadi juri pertandingan Miss Tourism International yang disertai Gabriella. Selepas itu kami tidak pernah bersua.

“Selepas beberapa tahun, kami bertemu kembali dan berkawan. Kami mula rapat dan menjalin hubungan lebih serius sejak tahun lalu,” katanya.

Menurut Hans, mereka mengambil masa agak lama untuk mengenali hati budi masing-masing.

“Sesetengah pasangan tidak menunggu lama untuk bercinta tetapi kami memutuskan berkawan dahulu.

“Sepanjang berkawan kami telus berkongsi kisah peribadi. Pendek kata tiada apa yang diselindung kerana mahu benar-benar kenal hati budi masing-masing.

“Saya yakin Gabriella jodoh terbaik buat saya lalu melamarnya untuk dijadikan suri hidup,” katanya.

Ditanya mengapa Gabriella menjadi pilihannya, Hans berkata rasa cinta itu hadir dengan sendirinya.

“Saya tidak menyangka Gabriella adalah jodoh saya kerana kami sudah lama kenal. Tiba-tiba saja jatuh cinta dan naluri saya kuat mengatakan dialah wanita yang saya cari selama ini.

“Malah sejak kebelakangan ini dia selalu ada di sisi menyokong saya. Dia wanita yang ringkas dan menghormati semua orang,” kata Hans.

Meskipun masing-masing mempunyai sejarah dalam hubungan cinta, Hans dan Gabriella tidak pernah berahsia.

“Kami bersikap terbuka. Apa yang berlaku dalam hidup sebelum ini kami anggap sebagai sejarah.

“Tiada apa yang perlu dirisaukan kerana kami sudah tahu cerita masing-masing dan apa yang penting sekarang adalah lihat ke depan,” katanya.

Menghitung hari

Beralih mengenai persiapan perkahwinan, Hans berkata dia kini menjalani kursus perkahwinan selama enam minggu manakala segala persiapan diserahkan kepada suri hatinya.

“Hampir setiap hari kami bercakap mengenai persiapan perkahwinan. Soal tema dan perjalanan majlis saya serahkan kepada Gabriella.

“Majlis nanti akan dihadiri 900 tetamu yang menjadi sebahagian daripada hidup kami. Tidak dilupakan mereka yang banyak membantu menaikkan nama saya.

“Saya akan jemput mereka meraikan hari bahagia meskipun sudah lama tidak berhubung,” katanya.

Sementara itu, Gabriella berkata Hans memiliki ciri-ciri lelaki idamannya.

“Walaupun sibuk bekerja, Hans sangat mengutamakan keluarga. Dia juga sangat romantik dan pandai mengambil hati.

“Syukur, kami bermula sebagai kawan dan kerana itu lebih memahami serta menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Ditanya mengenai jarak usia, Gabriella tidak melihat ia sebagai kekangan.

“Saya tiada masalah kerana dia boleh mengajar saya banyak perkara. Malah dia lebih matang dan bertanggungjawab dalam segala hal. Selain itu, kehidupan juga lebih terurus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 5:02 AM