SEDUTAN video yang disiarkan Abu Sayyaf menunjukkan seorang militan memenggal kepala Kantner. - Agensi
SEDUTAN video yang disiarkan Abu Sayyaf menunjukkan seorang militan memenggal kepala Kantner. - Agensi
Agensi

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte memohon maaf kepada kerajaan Jerman dan melahirkan rasa simpati selepas seorang tebusan warga itu, Jurgen Gustav Kantner mati dipenggal militan Abu Sayyaf.

“Saya meminta maaf kerana rakyat negara kamu dipenggal. Saya bersimpati dengan keluarga dan rakyat Jerman.

“Kami cuba menyelamatkan semua tebusan dan operasi besar-besaran oleh tentera juga sedang berlangsung,” katanya di sini kelmarin.

Duterte berkata, kerajaan Filipina berusaha sebaik mungkin dan operasi ketenteraan juga berlangsung lama.

“Namun, kami gagal. Itu yang terpaksa kami akui. Tidak salah untuk mengakui kegagalan,” jelasnya.

Abu Sayyaf memenggal kepala Kantner, 70, pada Ahad lalu selepas tarikh akhir pembayaran wang tebusan 30 juta peso (RM2.5 juta) berakhir.

Kantner diculik pada November tahun lalu selepas kapal layarnya dipintas Abu Sayyaf di perairan Sulu.

Pasangannya, Sabine Merz ditemui mati ditembak di dalam kapal layar berkenaan yang hanyut.

Duterte juga sekali lagi mempertahankan pendirian negara itu yang enggan tunduk dengan tuntutan wang tebusan oleh kumpulan militan berkenaan.

“Sekiranya wang tebusan dibayar akan menggalakkan lagi kumpulan ini melakukan jenayah,” katanya.

Abu Sayyaf yang berlindung di kawasan hutan tebal di wilayah Mindanao dipercayai menahan beberapa tebusan termasuk dari Malaysia dan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 7:19 AM