Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yakin Datuk Lee Chong Wei (gambar) akan mengambil serius cabaran Seluruh England pada 7-12 Mac ini.

Menurutnya, ini berikutan Chong Wei baru pulih daripada kecederaan ligamen lutut kiri dan perlu mengambil kira kesukaran saingan di kejohanan berkenaan selepas kehadiran beberapa pemain terbaik dunia.

“Saya rasa Chong Wei tahu apa yang kita harapkan darinya. Itu sebab dia begitu ghairah untuk beraksi di kejohanan ini,” kata Norza.

Jelasnya, beliau gembira kerana Chong Wei sudah kembali pulih seperti biasa untuk kejohanan kompetitif antarabangsa sejak hujung tahun lalu.

“Seperti mana yang kita tahu, ini antara kejohanan terbesar yang akan disertainya tahun ini. Pelbagai kejohanan yang akan disertainya tapi paling besar adalah Kejohanan Dunia di Glasgow pada Ogos nanti.

“Saya juga berharap pengstrukturan semula (penubuhan Projek Khas) menampakkan hasil kerana BAM sentiasa memberikan sokongan penuh bagi memudahkan Chong Wei melakukan persediaan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini mesyuarat di antara Pengarah Teknikal Morten Frost Hansen, Hendrawan (jurulatih perseorangan lelaki) dan Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai berlangsung dengan baik bagi membincangkan mengenai Projek Khas itu.

Ditanya mengenai pemilihan di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), Norza berkata, sekarang bukan masa sesuai untuk memberi komen mengenai perkara berkenaan.

“Kalau saya memberi komen pun, saya rasakan ia bukan masa sesuai kerana terlalu awal,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 8:41 AM