Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Pemilik kelab bola sepak Cardiff City Tan Sri Vincent Tan mengakui sedia menjual kelab Inggeris itu jika mendapat tawaran yang baik.

Bagaimanapun jutawan Malaysia itu menegaskan tidak mahu tergesa-gesa untuk melepaskan beberapa kelab miliknya termasuk Cardiff yang kini beraksi dalam Liga Kejuaraan di United Kingdom.

Selain Cardiff, Vincent turut memiliki kepentingan bersama kelab Major League Soccer (MLS) Los Angeles FC, FC Sarajevo (Bosnia) dan Kortrijk Voetbalt CVBA (Belgium).

“Untuk rekod, saya tiada rancangan untuk menjual mana-mana kelab tapi kalau saya ditawarkan harga yang betul, saya pasti akan pertimbangkan.

“Saya ada dihubungi beberapa kali oleh pihak yang mahu membeli CCFC (Kelab Bolasepak Cardiff City) tapi harga ditawarkan tidak sesuai,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Vincent mengeluarkan kenyataan itu sebagai membalas laporan Bloomberg yang mendakwa beliau ingin melepaskan saham kelab miliknya.

Sejak beliau membeli Cardiff pada 2010, pasukan itu dipromosikan ke Liga Perdana sebelum diturunkan semula ke Liga Kejuaraan. Ketika ini, kelab The Bluebirds itu menduduki tangga ke-12 liga dengan mengumpul 46 mata selepas 34 perlawanan.

Menerusi laporan media sebelum ini Vincent dikatakan sudah membelanjakan lebih 180 juta pound (RM984 juta) untuk Cardiff termasuk pembelian pemain.

Bagaimanapun kelab Wales itu dilaporkan menanggung kerugian 8 juta pound (RM43.7 juta) pada 2015 dan Vincent dikatakan mahu menjualnya dengan harga kira-kira 50 juta pound (RM273.6 juta).

“Saya tidak akan tergesa-gesa menjual CCFC tapi jika mendapat tawaran baik yang saya percaya dapat membawa kelab ke tahap lebih tinggi, saya sedia mempertimbangkan.

“Saya sudah katakan sebelum ini jika saya mahu tinggalkan CCFC, saya mahu kelab ini jatuh ke tangan pihak yang betul,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Cardiff Mehmet Dalman menyuarakan rasa tidak puas hati dengan laporan mengenai kelab itu bakal dijual.

“Apa yang dilaporkan itu di luar rancangan pada masa ini dan saya mahu menyatakan perkara sebenar di mana Cardiff menuju landasan betul dan tumpuan ketika ini adalah untuk melihat kelab ini beraksi di Liga Perdana Inggeris,” katanya dalam welshonline.com.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 8:54 AM