TEROWONG Bijih Timah Sungai Lembing tawar pengalaman mengujakan.
PENGALAMAN menaiki lokomotif ke dalam terowong cukup mengujakan pengunjung.
SUASANA pelombong melakukan kerja melombong satu ketika dulu.
TEROWONG ratusan tahun yang masih kukuh dan selamat.
MENAIKI kereta api masuk ke dalam terowong dengan pencahayaan yang suram menambah keterujaan.
PETA lombong bijih timah sekitar Sungai Lembing.
PENGUNJUNG membaca mengenai Legenda Lubang Sejuta Ringgit.
REPLIKA pelombong bijih timah yang menjalankan tugas.
BERGAMBAR kenangan selepas meneroka di dalam terowong.
Suliati Asri


Menaiki lokomotif ke lombong sejauh 80 meter (m) kemudian berjalan kira-kira 520m dalam kesamaran menimbulkan pelbagai perasaan.

Perasaan diselubungi kebimbangan kerana khuatir lombong yang dilalui itu runtuh apatah lagi ia laluan asal berusia ratusan tahun.

Terbayang satu adegan dalam filem The 33 ketika terowong lombong bijih timah runtuh dan pelombong yang bekerja ketika itu terperangkap tanpa bekalan udara.

Namun perasaan teruja untuk merasai sendiri suasana dan aktiviti perlombongan yang menjadi sumber kekayaan negara satu ketika dulu mengatasi segalanya.

Rasa ingin tahu berkenaan Lagenda Lubang Sejuta Ringgit yang mempunyai sejarah tersendiri juga menjadi kekuatan untuk mengatur langkah masuk ke dalam terowong sejauh 600m.

Itulah yang dirasai penulis saat mengunjungi Lombong Bijih Timah Sungai Lembing, Pahang iaitu lombong timah terbesar dan terdalam di dunia.

Lombong Tai Pei Tong

Dibuka pada 1 Januari 2013, Lombong Bijih Timah Sungai Lembing ini membawa pengunjung meneroka suasana dalam terowong bijih timah yang penuh sejarah dan cerita tersendiri.

Memulakan penerokaan, pengunjung akan menaiki kereta api atau lokomotif iaitu kenderaan yang mengangkut bijih timah sejauh 80m. Ia kemudian diikuti dengan berjalan kaki sambil melihat pelbagai maklumat berkenaan terowong yang disediakan pada dinding.

Terbahagi kepada dua lorong iaitu Lorong Sejuta dan Lorong Myah, terowong yang menjadi laluan utama pengunjung itu adalah terowong utama lombong Tabeto yang juga digelar ‘Tai Pei Tong’ oleh penduduk tempatan.

Pada zaman kegemilangannya, lombong Tabeto ini mencapai kedalaman maksimum 500m dan terowong yang dilalui ini digunakan untuk membawa bijih timah keluar dari lombong ke loji pengsir.

Kebanyakan bijih timah ini dihasilkan lombong yang terdalam dan terbesar di Sungai Lembing iaitu Lombong Myah. Lombong ini terletak kira-kira empat kilometer (km) ke dalam terowong ini.

Terdapat 14 lombong berlainan di sini dan setiap satunya memiliki namanya tersendiri seperti lombong Willinks, Pollocks dan Gunong.

Legenda Lubang Sejuta Ringgit

Mengatur langkah menuju ke lokasi Lubang Sejuta Ringgit, dalam kesamaran, terasa angin yang bertiup lembut dan kedengaran bunyi air mengalir.

Rupanya, angin dan air yang mengalir itu datangnya dari lubang asal yang ditebuk satu ketika dulu untuk pengudaraan.

Sampai di hujung laluan terdapat gua kecil yang juga lokasi tempat 20 pelombong yang belum dibayar gaji mengambil keputusan menjalankan aktiviti pelombongan secara haram di sebalik kegelapan malam sekitar 1987.

Mereka yang melombong secara haram selepas lombong ini ditutup berjaya mengeluarkan bijih timah bernilai antara RM2,000 hingga RM3,000 setiap malam, untuk suatu jangka masa yang lama, hingga jumlah keseluruhan bijih timah yang diambil dianggarkan bernilai sekitar RM1 juta.

Bijih timah yang dilombong ini dipercayai dipecahkan dengan tangan di rumah, sebelum dijual di pasaran gelap. Lubang ini dilombong sehabisnya sehingga struktur dindingnya menjadi tidak selamat.

Lorong Myah

Usai melihat dan mendengar sendiri kisah legenda Lubang Sejuta Ringgit daripada pemandu pelancong serta tayangan video, penerokaan diteruskan ke satu lagi lorong iaitu Lorong Myah.

Di situ, ditempatkan patung pelombong melakukan kerja perlombongan yang nyata memberikan gambaran sebenar kerja melombong satu ketika dulu di sini.

Berjalan hingga ke penghujung, pengunjung perlu menaiki tangga.

Di situ, terdapat lif menuju kedalaman 1,400 kaki di bawah tanah iaitu paras paling dalam di kawasan perlombongan ini satu ketika dulu.

Sekitar kawasan ini juga disediakan maklumat dan pameran yang mengujakan.

Kaya pelbagai hasil logam

Kawasan lombong ini mengandungi pelbagai jenis logam, antaranya timah, kuprum, besi, pirit arsenik, zink dan plumbum.

Menurut cerita penduduk tempatan, emas juga pernah ditemui ketika ujian geologi yang dijalankan ke atas contoh batuan.

Bagaimanapun, hanya timah dan kuprum ditemui dalam kuantiti yang cukup besar untuk diusahakan.

Lod timah bawah tanah ini meliputi kawasan sepanjang beberapa kilometer dan bercabang-cabang menuju pelbagai arah. Keadaan ini menyebabkan terbentuknya 14 lombong berasingan dengan setiap satunya menghasilkan timah dengan kualiti yang berbeza.

Selesai meneroka di dalam terowong, pengunjung berpeluang melakukan pelbagai aktiviti yang disediakan di sekitar kawasan Terowong Bijih Timah Sungai Lembing ini.

Patung pelombong yang terdapat di situ juga menjadi tarikan. Ruang rehat dan kedai cenderahati turut disediakan di sini.

Dengan bayaran RM15.90 untuk dewasa, RM7.95 (kanak-kanak) bagi pengunjung tempatan manakala RM31.80 dewasa dan kanak-kanak (RM15.90) bagi pelancong asing, Terowong Bijih Timah Sungai Lembing ini antara destinasi menarik yang mesti dikunjungi di Pahang.

Pengunjung yang datang berkumpulan, pengurangan bayaran masuk akan diberikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 11:00 AM