GAMBAR hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


Kuala Lumpur: Bekas ketua pegawai eksekutif TH Heavy Engineering Bhd (THHE) yang juga syarikat bersekutu Tabung Haji (TH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM1 juta, empat tahun lalu.

Datuk Nor Badli Munawir Mohamad Alias Lafti, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang tunai berjumlah RM430,000 daripada Pengarah Syarikat Coral Intoil, Mohd Razip Mohammad iaitu hasil daripada suatu aktiviti haram di THHE Fabricators Sdn Bhd, B-23-1, Tower B, Menara UOA Bangsar, di sini, antara 2 petang hingga 4 petang, 27 Jun 2013.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama dengan menerima wang tunai berjumlah RM570,000 daripada Pengarah Syarikat RL Offshore Sdn Bhd di Restoran Leaf Dining , No 5-1, Jalan Solaris 1, Solaris Mont Kiara antara 3 petang hingga 4 petang pada 1 November 2013.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 15 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Pada 26 Januari lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen sama atas lima pertuduhan pecah amanah membabitkan lima cek berjumlah RM2.57 juta, empat tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 12:36 PM