TERTUDUH (tengah) dihukum penjara dan denda selepas didapati bersalah. FOTO Mohd Azren Jamaludin
TERTUDUH (tengah) dihukum penjara dan denda selepas didapati bersalah. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Ahli perniagaan dihukum penjara lapan tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah memberi rasuah wang tunai RM2,950 kepada pegawai polis, dua tahun lalu.

Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Lim Wee Kwang, 57, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Berdasarkan pertuduhan, Lim didakwa memberi suapan itu kepada Inspektor Mohd Mokhtar Mohd Nor yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang disyaki memiliki dadah dan peluru hidup di No 52, Jalan Sepat, Taman Banang dekat Batu Pahat, kira-kira 7.45 petang, 14 Januari 2015.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa SPRM, Ridzuan Abd Malik mengemukakan enam orang saksi, manakala tiga saksi pembelaan dipanggil ketika prosiding bela diri termasuk tertuduh yang diwakili peguam Sukhaimi Mashud itu.

Ketika rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Sukhaimi memberitahu mahkamah anak guamnya menjalankan perniagaan keluarga dan kini menghidap sakit tulang tengkuk dan tulang belakang yang menipis dan berbahaya kepada kesihatannya dan mengancam nyawa.

"Tertuduh sudah insaf dan mohon hukuman paling minimum buatnya dengan mengambil kira faktor kesihatannya," katanya.

Bagaimanapun, Ridzuan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat supaya tidak terbabit dalam jenayah rasuah terutamanya menawarkan suapan kepada anggota penguatkuasa undang-undang.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman itu selain memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda dan mengarahkan wang tunai yang terbabit dalam kes itu dilucuthak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 1:23 PM