Nor Badli Munawir di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram. FOTO Roslin Mat Tahir
Nor Badli Munawir di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram. FOTO Roslin Mat Tahir
Iskandar Shah Mohamed


Shah Alam: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH Heavy Engineering Bhd (THHE) iaitu syarikat bersekutu Tabung Haji mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam di sini, hari ini atas tiga pertuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.57 juta, empat tahun lalu.

Datuk Nor Badli Munawir Mohamad Alias Lafti, 51, memohon dibicarakan selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Asmadi Hussin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai CEO syarikat yang terbabit dalam industri minyak dan gas itu didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang tunai berjumlah RM400,000, RM570,000 dan RM600,000 daripada Pengarah Syarikat Bicara Sepakat Sdn Bhd, Murhasmee Mukhtar, yang merupakan hasil satu aktiviti haram.

Semua perbuatan itu dilakukan di sebuah restoran di Oasis Square, Petaling Jaya, antara 2 Mei hingga 11 September 2013.

Justeru, Nor Badli Munawir melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohammed Heikal Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Kitson Foong.

Asmadi membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM50,000 tanpa cagaran dan penjamin mengikut Seksyen 387 (2) Kanun Prosedur Jenayah.

Sebutan semula kes ditetapkan untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 15 Mac depan.

Pada sebelah pagi hari ini, Nor Badli Munawir turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan terbabit dalam pengubahan wang haram berjumlah RM1 juta, empat tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 4:08 PM