Hayati Ibrahim dan Nurul Huda Kosnon


Putrajaya: Berkuatkuasa semalam, harga gula pasir putih bertapis kasar ditetapkan pada RM2.95 sekilogram, berbanding RM2.84 sekilogram ketika ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam satu kenyataan memaklumkan, penetapan harga baru itu dibuat mengikut Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No.2) 2017.

"Hal ini (kenaikan) disebabkan peningkatan ketara bagi harga gula mentah dunia yang diimport oleh Malaysia.

"Bagaimanapun, kerajaan masih mengawal harga itu pada paras paling minimum jika dibandingkan dengan kenaikan di negara lain,"katanya.

Menurut kenyataan itu, kali terakhir harga gula dikemaskini adalah pada 25 Oktober 2013.

Ketika itu, harga gula adalah RM2.50 sekilogram.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di beberapa kedai runcit dan pasar raya di Bangsar mendapati harga bahan terkawal itu sudah dijual mengikut harga baru iaitu RM2.95.

Bagaimanapun, masih terdapat juga kedai runcit yang masih menjual gula pada harga lama, iaitu RM2.84.

Kakitangan swasta Naim Mohammad, 56, berkata, dia ada mendengar mengenai kenaikan harga itu tetapi tidak pasti bila dikuatkuasakan.

"Saya harap harga gula dapat dikekalkan berikutan ia akan membebankan pengguna.

"Harap kerajaan prihatin dengan mengawal harga barangan terkawal termasuk gula, "katanya.

Sementara itu, Norfazilawani Rahim, 31, berkata kenaikan harga gula itu bukan hanya memberi kesan kepada pengguna tetapi juga peniaga.

"Ini kerana rata-rata peniaga terutama peniaga makanan dan minuman akan turut menaikkan harga.

"Harga minyak baru saja naik dan sekarang harga gula pulak. Saya harap pihak kerajaan ambil langkah terbaik terutama untuk menstabilkan harga barangan keperluan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 4:48 PM