Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Meskipun tidak lagi mengenakan lilitan kapten, Muhammad Razie Abdul Rahim (gambar) tetap menganggap peranannya selaku pemain senior tetap berat dalam usaha memastikan skuad hoki negara muncul juara Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia.

Jelas Razie, dia tidak ambil pusing apabila tidak diberikan tanggungjawab kapten pasukan yang kini digalas rakan seangkatannya, Mohamad Sukri Abdul Mutalib.

“Saya kapten atau tidak rasanya tanggungjawab tetap sama, iaitu kami sebagai pemain senior perlu membimbing pemain muda.

“Paling penting adalah ketika perlawanan sebenar. Untuk saya sendiri, sememangnya tidak ada masalah beraksi di pentas antarabangsa sebab sudah dapat momentum permainan apabila beraksi dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM),” katanya.

Razie tidak diberi tanggungjawab selaku kapten sejak menyertai Kursus Asas Latihan Inspektor Polis di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) selama sembilan bulan yang berakhir awal bulan lalu.

Mengenai perlawanan pertama bertemu Bangladesh yang juga tuan rumah kepada Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia esok, Razie berkata, dia serta rakan sepasukan lain sememangnya tidak memandang rendah setiap lawan yang ditemui meskipun Malaysia diletakkan selaku pilihan pertama.

“Paling penting adalah perlawanan pertama. Kami perlu pastikan segala yang dilakukan betul,” katanya.

Selain Bangladesh, skuad negara diletakkan bersama-sama Oman dan Fiji dalam Kumpulan A.

Pusingan kedua Liga Hoki Dunia adalah sebahagian laluan untuk layak ke Piala Dunia 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 8:04 AM