PENYANYI era 1960-an, Asmah Atan (kanan) menyampaikan sumbangan daripada tabung Kami Peduli kepada anak Allahyarham, Nazaruddin (kiri), di Singapura. FOTO ihsan Life Records
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: “Bapa masih sedar ketika dimasukkan ke Hospital Dover Park seminggu lalu.

“Selepas itu dia langsung tidak sedarkan diri. Dua hari terakhir sebelum meninggal dunia, bapa dapat buka mata sebelum pergi buat selama-lamanya,” kata Mohd Nazaruddin Mohamed Ishak, 42,anak sulung kepada penyanyi popular 1960-an, M Ishak yang meninggal dunia akibat barah paru-paru di Singapura, 11.30 malam tadi.

Mohd Nazaruddin ketika dihubungi di Singapura berkata, bapanya disahkan menghidap barah paru-paru tahap empat sejak dua bulan lalu dan menghembuskan nafas terakhir di depan keluarganya.

Menurutnya, sejak dimasukkan ke hospital, keadaan bapanya semakin tenat apabila barah yang dihidapinya sudah merebak ke bahagian leher dan otak.

M Ishak atau nama sebenarnya Mohamed Ishak Shaik Mohamed yang dikenali dengan lagu Yale-Yale ini pernah dirawat di Hospital Tan Tock Seng, Singapura selama tiga minggu sejak bulan lalu kerana penyakit sama.

Nazaruddin berkata, sepanjang menerima rawatan, bapanya menerima kunjungan rakan-rakan seangkatan antaranya Datuk A Rahman Hassan, Rohani Mohd dan Yusnor Ef yang turut memberikan sumbangan.

"Bapa turut dikunjungi Pengurus Besar syarikat rakaman Life Records, Osman Arrifin yang mewujudkan tabung 'Kami Peduli' yang diusahakan oleh Life Records Singapura. Sumbangan ini disampaikan oleh Asmah Atan, penyanyi era 60-an seangkatan bapa," katanya.

Jenazah Allahyarham dibawa ke kediamannya di Blok 19, Boon Keng Road, Singapura dan akan dikebumikan selepas solat Jumaat di Masjid Khadijah, Geylang Road, Singapura, hari ini.

"Saya mohon kepada peminat dan rakan taulan bapa agar memaafkan kesalahan serta halalkan makan minumnya ketika hayatnya.

"Samalah-samalah kita doakan agar roh bapa saya ditempatkan bersama golongan mereka yang beriman," katanya.

Allahyarham yang meninggalkan seorang balu, empat anak dan 13 cucu pernah menghasilkan dua album iaitu The Young Lovers pada 1967 dan Joget Si Hitam Manis (1970).

Walaupun usianya sudah melebihi tujuh dekad, M Ishak masih aktif menyanyi di Malaysia dan Singapura ketika hayatnya.

Allahyarham membuat persembahan terakhir di Kuala Lumpur pada Januari lalu sebelum jatuh sakit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 11:58 AM