Tempoh tahanan reman empat suspek dilanjutkan tujuh hari lagi oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini. FOTO  Mohd Azren Jamaludin
Tempoh tahanan reman empat suspek dilanjutkan tujuh hari lagi oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Tempoh tahanan reman anak dan pegawai khas Exco kerajaan negeri yang disyaki terbabit dalam skandal rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini dilanjutkan tujuh hari lagi oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Turut disambung reman tujuh hari ialah dua lagi suspek manakala dua yang lain dipercayai pemaju dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perintah lanjutan reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Johor Bahru, Hafizah Johor Ariff Johor bermula hari ini, selepas membenarkan permohonan SPRM untuk menyambung tempoh reman berkenaan.

Lanjutan reman itu membolehkan SPRM menjalankan siasatan lanjut terhadap empat suspek terbabit mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, keenam-enam mereka tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 9 pagi dengan menaiki enam kenderaan diiringi pegawai SPRM.

Lima daripada mereka dilihat memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga dan menutup wajah masing-masing, manakala seorang lagi berkemeja dan tidak melindungi wajahnya.

Mereka kemudian dilihat meninggalkan mahkamah jam 11.15 pagi.

Keenam-enam suspek yang berusia antara 25 dan 50 tahun itu sebelum ini direman tujuh hari sehingga hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 12:29 PM