Sebahagian balak yang dirampas. FOTO ihsan polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Sarikei: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak rampas 300 balak dianggarkan bernilai RM54,000 kerana ditebang tanpa mempunyai cop Jabatan Hutan Sarawak (JHS) di Jalan Sungai Petai, di sini, petang semalam.

Komander PPM Wilayah 5 Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman berkata, pasukannya menjalankan serbuan jam 2.45 petang selepas menjalankan risikan beberapa hari lalu.

Menurutnya, dua serbuan dijalankan di kawasan sama menemui 300 balak pelbagai jenis yang ditebang pembalak haram.

"Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah jengkaut yang digunakan untuk mengangkut balak dan menahan seorang lelaki Indonesia untuk siasatan lanjut.

"Semua barangan yang dirampas diserahkan kepada JHS untuk siasatan lanjut mengikut Ordinan Perhutanan Sarawak 2015 manakala lelaki itu ditahan polis kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 2:59 PM