TERTUDUH di Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Hasriyasyan Sabudin
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Penyelia tapak tempat letak lori dipenjara tujuh hari dan didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan menawar dan memberi suapan kepada anggota imigresen, tahun lalu.

Hukuman itu dikenakan Hakim Fathiyah Idris selepas tertuduh Lim Hong Piew, 51, mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menawarkan suapan RM500 kepada pegawai Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, [email protected] Jaafar Sidek supaya tidak melakukan tangkapan ke atas dua pekerja warga asing.

Kesalahan itu dilakukan di tempat tetak lori Kampung Kebun, Bukit Pelandok, Port Dickson, 2.25 petang, 30 Mei 2016.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memberikan suapan RM500 kepada pegawai sama sebagai dorongan tidak melakukan tangkapan terhadap dua pekerjanya di lokasi dan masa yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Karmila Mokhtar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari bermula hari ini dan denda RM20,000 bagi setiap pertuduhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2017 @ 3:33 PM