CORAK pemandangan indah di atas kertas dinding menjadi trend dan meraih populariti pada penghujung abad ke-18.

Kertas dinding antara hiasan dalaman utama dan tidak hanya digunakan untuk ruang kediaman semata-mata kerana ia menyerikan dinding pejabat, restoran dan muzium.

Malah kertas dinding terawal dipercayai mula dihasilkan sekitar abad ke-16. Ketika itu pengeluar kertas dinding menggunakan teknik tradisional seperti lukisan tangan, percetakan blok kayu dan stensil.

Pada awalnya, golongan elit menggantung permaidani pada dinding kediaman untuk menambah seri warna pada ruang kamar.

Ketika itu ia menjadi lapisan penebat antara dinding batu dan ruang bilik berkenaan untuk mengekalkan haba.

Namun, harga permaidani ketika itu agak mahal dan hanya mampu dimiliki golongan atasan.

Golongan bawahan yang tidak mampu mendapatkan permaidani memilih kertas dinding sebagai ganti.

Kebiasaannya kertas dinding yang dicetak ditampal pada dinding sementara hasil kerja artis yang lebih halus dan teliti digantung seperti permaidani.

England dan Perancis adalah peneraju bagi pengeluaran kertas dinding di Eropah. Antara sampel terawal yang dijumpai adalah kertas dinding yang dicetak di London pada 1509.

Kertas dinding berkualiti dari China juga mula diperkenalkan di Eropah pada penghujung abad ke-17. Ia dikatakan berkualiti kerana dilukis tangan sepenuhnya dan sangat mahal.

Pada penghujung abad ke-18, trend kertas dinding tertumpu pada motif corak pemandangan indah selain menawarkan pilihan kertas dinding dengan panorama yang besar.

Awal abad ke-20, kertas dinding mendapat sambutan ramai dan menjadi antara produk hiasan dalaman yang wajib dimiliki di Barat.

Kini perkembangan percetakan digital membantu pereka menggabungkan teknologi dan seni dan membawa kertas dinding di satu tahap yang baru.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2017 @ 5:03 AM