Banyuwangi: Pihak berkuasa daerah Banyuwangi semalam mengisytiharkan Pulau Santen sebagai pantai patuh syariah dan dikhaskan hanya untuk pengunjung wanita.

Ketua daerah Banyuwangi, Abdullah Azwar Anas berkata, pantai itu yang pertama berkonsep pelancongan halal di daerah berkenaan dan dia berharap ia akan menarik lebih ramai kedatangan pelancong.

“Mulai hari ini (semalam) lelaki tidak dibenarkan masuk ke kawasan pantai di sini.

“Semua petugas dan pekerja di pantai ini juga adalah wanita dan bertudung,” katanya yang dipetik Jawapos.com.

Menurutnya, wanita yang masuk ke pantai yang menghadap Selat Bali itu tidak diwajibkan memakai tudung dan wanita bukan Islam juga dibenarkan berkunjung.

“Selain itu semua makanan dan minuman yang dihidangkan atau dibawa masuk ke sini mestilah yang halal,” jelasnya.

Menurutnya, pantai itu juga lengkap dengan surau supaya pengunjung boleh menunaikan solat apabila masuk waktu sembahyang.

“Apabila azan berkumandang, semua aktiviti di pulau ini harus dihentikan.

“Aktiviti boleh disambung semula selepas azan tamat dan selesai menunaikan solat bagi pengunjung Muslim,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2017 @ 6:04 AM