Tuan Asri Tuan Hussein

Wanita dan kecantikan tidak dapat dipisahkan. Itu ungkapan yang sering kita dengar dan pengalaman sepanjang menjadi wartawan di akhbar ini, saya mendapati ungkapan itu memang ada kebenarannya.

Buktinya, industri kosmetik berkembang amat subur di negara ini hingga melahirkan ramai usahawan bertaraf jutawan seperti Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman dan ramai lagi.

Kemunculan jutawan kosmetik ini bukan sekadar memberi lebih banyak pilihan produk di pasaran, tapi turut menyuntik motivasi dalam kalangan usahawan kecil-kecilan untuk berusaha lebih gigih agar turut mampu menjadi jutawan.

Selain itu, produk kosmetik keluaran usahawan tempatan dan jenama bertaraf antarabangsa turut tersenarai sebagai sumber kewangan utama media melalui pengiklanan termasuk akhbar ini sejak peringkat awal penerbitan sehingga sekarang.

Namun, pada masa yang sama jika dilihat dari perspektif berbeza, kami juga tidak putus-putus menyiarkan berita mengenai penghasilan produk kosmetik palsu dikeluarkan tanpa kebenaran pihak berkuasa dan yang membahayakan pengguna.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, sepanjang 2015 hingga November 2016, sebanyak 12,198 barangan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM8.4 juta dirampas.

Menurutnya, dari 2013 hingga tahun lalu pula sebanyak 2,277 jenama produk kosmetik dibatalkan status notifikasi kerana melanggar syarat-syarat pembuatan ditetapkan termasuk menggunakan bahan terlarang yang membahayakan pengguna.

Produk kosmetik terbabit meliputi produk yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan dan ada juga yang diimport atau menggunakan bahan terlarang yang diimport dari Thailand, Indonesia, Filipina dan China.

Di sebalik pelbagai operasi, serbuan, rampasan dan tangkapan dilakukan pihak berkuasa, keadaan nampaknya tidak banyak berubah.

Sebabnya, perempuan tetap nak cantik. Keinginan itu (ada juga yang mencapai tahap kegilaan) sering kali membuatkan mereka hilang pertimbangan dan berani mengambil risko yang boleh memudaratkan diri sendiri.

Berdasarkan pendedahan Harian Metro kelmarin mengenai kebanjiran produk kosmetik yang dihasilkan tanpa mengikut syarat ditetapkan pihak berkuasa, beberapa pengusaha produk terbabit tanpa berselindung memberitahu mereka memang ‘buat duit.’

Kata mereka, dengan sejumlah modal yang kecil iaitu sekitar RM350, mereka boleh mendapat keuntungan berlipat ganda kerana majoriti wanita yang menggunakan produk keluaran mereka tidak prihatin mengenai status produk sama ada dikeluarkan mengikut piawaian ditetapkan atau sebaliknya.

Pensyarah Kanan Perubatan dan Pakar Dermatologi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Kartini Farah Rahim berkata, kajian pihaknya mendapati pelbagai bahan berbahaya dicampur dalam kosmetik tidak berdaftar terutama produk diseludup dari negara jiran.

Antaranya, logam berat seperti merkuri, tretinoin, hidrokuinon, asid azelaik serta kortikosteroid seperti betamethasone yang digunakan dalam produk kosmetik untuk kulit.

Penggunaan produk kecantikan mengandungi bahan kimia terlarang boleh mengundang pelbagai komplikasi kesihatan seperti gangguan hormon, masalah buah pinggang, risiko teratogenik (kecacatan bayi dalam kandungan) bagi ibu hamil, kerosakan sistem saraf serta masalah berkaitan ingatan, emosi, pendengaran dan penglihatan.

Hakikatnya, ini semua bukan perkara baru dan media sudah berulang kali menyiarkan bahaya jika menggunakan kosmetik tidak berkualiti dan palsu, namun semua itu diabaikan oleh adik, kakak dan mak cik kita semata-mata kerana ingin cantik.

Sukar saya menjangkakan sampai bila keadaan ini akan berterusan. Ada pihak berpendapat kerajaan perlu mengenakan hukuman lebih keras ke atas pengeluar dan penjual produk kosmetik haram dan palsu.

Namun, satu pihak lain pula menyanggah saranan itu kerana berpendapat pengeluaran produk kosmetik palsu akan tetap wujud selagi ada permintaan.

Ringkas kata, selagi tiada kesedaran dalam kalangan pengguna untuk tidak membeli produk kosmetik haram dan palsu, selagi itulah ia akan berlambak di pasaran.

Kesimpulannya, kesedaran pengguna itu amat penting. Nasihat saya, tak salah nak cantik tapi jadilah pengguna yang bijak.

Jangan malas untuk memeriksa status sesuatu produk kosmetik sebelum membeli dan menggunakannya, selain peka dengan pengumuman pihak berkuasa mengenai senarai produk diharamkan yang diuar-uarkan dari masa ke semasa.

Penulis ialah Penulis Khas

Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2017 @ 6:46 AM