SORAKAN pasukan PSA sebelum berentap dalam padang.
MENGELAK daripada disentuh.
MENGELAK daripada disentuh.
PERBINCANGAN membabitkan pasukan Politeknik Shah Alam bersama jurulatih.
TINGGI lompatan dibuat pemain ragbi.
MELEPASI halangan lawan.
AKSI pemain TTDIAN Micheal Manoharan cuba melepaskan diri daripada pertahanan Blackwolf 19.
Nurul Husna Mahmud


Lincah dan licik. Itu kualiti jitu perlu ada pada pemain ragbi sentuh. Justeru tidak hairanlah ketika Kejohanan Ragbi Shah Alam 7’s & Ladies Touch 2017 Edisi Pertama anjuran Kelab Ragbi Shah Alam (SARC) baru-baru ini menyaksikan kelibat pemain wanita begitu ligat di atas padang.

Mulanya gusar memikirkan keadaan sukan ini andainya pemain wanita perlu bergasak bagi merampas bola lawan, namun setelah dimaklumkan jurulatih pasukan Kelab Ragbi Shah Alam Kamilia Ab Kadir sukan ragbi sentuh berlainan dengan ragbi biasa.

“Ramai yang tidak mengenali sukan ini berpendapat ragbi terlalu kasar untuk wanita. Membandingkan tubuh kecil memeluk kemas bola berkenaan berlari dalam padang luas, semestinya pemain perlu mempunyai ketahanan setara dengan lelaki. Itu skeptikal sukar diubah pada pandangan orang awam yang tidak begitu memahami sukan ini.

“Namun ada kategori atau jenis sukan ragbi mempunyai syarat lebih santai dan tidak membabitkan aksi kasar menerusi ragbi sentuh. Dalam kejohanan ini, jenis ragbi ini dipertandingkan untuk pemain perempuan.

“Apabila pemain yang membawa bola disentuh, mereka perlu menyerahkan pada lawan. Permainan ini tidak membabitkan ‘tackle’ namun rentak permainan laju diperlukan untuk skor. Selain bijak mengatur strategi dan kepantasan, stamina serta fokus kunci menentukan pasukan mempunyai kelebihan menguasai permainan,” katanya.

Bagi tonggak pasukan wanita SARC Farha Emilyn Mohd Puzi, selaku pasukan baru dia berasa teruja dapat berentap dengan pasukan lain.

Katanya, dengan pengalaman itu, dia dapat memperbaiki mutu permainan selain terdedah pelbagai strategi permainan tidak pernah di lihat sebelum ini.

“Kalau sebelum ini saya main ragbi hanya suka-suka atas tujuan riadah. Tetapi menerusi kejohanan ini saya dapat menilai kemampuan serta keupayaan untuk pergi jauh dalam sukan berkenaan. Saya mempunyai minat mendalam terhadap sukan ragbi. Cumanya ruang mahupun untuk ada pasukan sebelum ini sukar kerana perempuan bimbang terbabit dengan sukan lasak.

“Saya berharap dengan usaha seperti SARC dapat mengembangkan pengaruh sukan ini dalam kalangan wanita,” katanya.

Sementara itu Presiden SARC Ahmad Nizam Mohd Sabi berkata dia gembira penganjuran kejohanan pembukaan tahun 2017 itu mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan komuniti sukan terbabit.

“Dengan usia kelab kami masih bertatih apabila ditubuhkan tahun lalu, kami optimis dapat memainkan peranan dengan efektif dalam mengembangkan sukan ini.

“Banyak pemain berpotensi boleh digilap menerusi kejohanan mahupun kelab ini. Ia penting untuk membarisi pasukan kebangsaan mahupun mewakili negara untuk kejohanan luar.

“Pada masa sama kami turut berharap ada sokongan membabitkan syarikat korporat mahupun agensi sudi menaja bagi perkembangan sukan ini. Malah paling penting berharap ada padang khusus latihan ragbi buat kelab serta komuniti ragbi Shah Alam berlatih,” katanya.

Bagi pemain ragbi tujuh SARC Alif Izzudin Samsudin , 19, kejohanan berkenaan sebagai pendedahan awal untuk ke kejohanan jauh lebih besar.

“Saya melihat kejohanan ini sebagai batu loncatan untuk maju ke kejohanan lebih besar. Meskipun ia penganjuran bertahap kelab, lawan datang tidak boleh diperkecilkan. Rata-rata mereka pernah bermain untuk beberapa kejohanan lain sebelum ini.

“Persediaan seperti biasa, setiap minggu kami melakukan latihan berpasukan. Bagi diri sendiri, saya turut melakukan latihan serta senaman sendiri bagi meningkatkan stamina kerana sukan ini membabitkan kekuatan fizikal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2017 @ 5:04 AM