Senapang yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Samarahan: Polis menahan seorang lelaki selepas dia melepaskan tembakan menggunakan senapang angin di Kampung Moyan Ulu, Asajaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, suspek berusia 42 tahun melepaskan tembakan yang nyaris terkena seorang lelaki berumur 29 tahun.

Ketua Polis Daerah Samarahan Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan datang ke kawasan berkenaan untuk membeli bateri kereta.

Menurutnya, belum sempat mangsa keluar dari kenderaannya, suspek tiba-tiba datang dan melepaskan tembakan ke arah kereta mangsa.

"Tembakan itu terkena cermin sisi sehingga pecah sebelum mangsa melarikan diri.

"Berdasarkan maklumat berkenaan, sepasukan polis bergegas ke lokasi dan berjaya menahan suspek.

“Polis menemui senapang angin itu dibuang di tepi semak berdekatan lokasi kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2017 @ 1:33 PM