MUSTAPA (kiri) mempengerusikan mesyuarat antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri mengenai kemelut Orang Asli di Gua Musang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kerajaan Pusat akan membantu kerajaan negeri menyelesaikan kemelut yang berlaku terhadap Orang Asli di Gua Musang.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bagi penyelesaian itu, pihaknya kini menunggu laporan penuh daripada beberapa agensi yang berkaitan.

Katanya, masalah Orang Asli di Gua Musang harus diberi perhatian yang serius.

"Kebajikan mereka perlu dijaga dan kita perlu cari jalan untuk meredakan isu yang berlaku.

"Walaupun sukar nak penuhi permintaan mereka (Orang Asli) tetapi satu perancangan harus dibuat untuk menangani isu Orang Asli," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung isu yang berlaku terhadap Orang Asli di Gua Musang yang membuat sekatan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah sejak September tahun lalu bagi mempertahankan tanah adat mereka daripada dimusnahkan dengan lebih teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2017 @ 3:42 PM