Filem J Revolusi dapat bimbingan Andy Lau. FOTO HM
Filem J Revolusi dapat bimbingan Andy Lau. FOTO HM
Michelle Gun


Kuala Lumpur: Jualan tiket filem J Revolusi mencecah RM1.4 juta sepanjang tempoh tiga hari tayangan di pawagam seluruh negara dan Brunei.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, maklum balas penonton di media sosial sangat memberangsangkan malah ramai memuji kehebatan persembahan barisan pelakon filem arahan Zulkarnain Azhar itu.

"Ramai penonton berpuas hati dengan jalan cerita filem ini. Malah, mereka turut meluahkan rasa bangga kerana produksi tempatan sudah mampu menghasilkan filem bertaraf antarabangsa," katanya.

Menurut Izham, J Revolusi adalah karya pertama Primeworks Studios dan Infinitus Entertainment, syarikat milik Datuk Sri Robin Tan bersama pelakon terkenal Hong Kong, Andy Lau.

"Andy Lau bertindak sebagai penasihat dan turut membimbing produksi dalam mendapat garapan cerita terbaik yang boleh menambat hati penonton.

"Justeru, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada lebih 100,000 penonton di atas sokongan mereka terhadap filem ini," katanya.

J Revolusi menelan belanja RM3 juta itu dijayakan pakar lagak ngeri tanah air yang bekerjasama dengan dua pengarah berpengalaman dalam bidang itu dari Hong Kong.

Filem ini dibintangi Zul Ariffin, Izara Aishah, Nur Fazura, Farid Kamil, Azad Jazmin dan Datuk Hans Isaac.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2017 @ 5:47 PM