SJALAN kampung yang dinaiki air di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat, kelmarin. FOTO Ahmad Ismail
SJALAN kampung yang dinaiki air di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat, kelmarin. FOTO Ahmad Ismail
BERNAMA

Johor Bahru: Keadaan banjir di daerah Segamat dilaporkan semakin pulih apabila hanya terdapat 78 mangsa daripada 19 keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi tadi.

Ia menurun berbanding 111 mangsa daripada 25 keluarga yang ditempatkan di empat PPS sehingga 7 malam tadi.

PPS itu ialah Balai Raya Pogoh Tengah, Kompleks Penghulu Mukim Pogoh, Balai Raya Batu Badak dan Sekolah Kebangsaan Spang Loi.

"Bagaimanapun berikutan cuaca yang baik, sebuah daripada empat pusat itu telah ditutup pada 10 malam tadi iaitu Kompleks Penghulu Mukim Pogoh," kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat dalam kenyataan, hari ini.

Berdasarkan pemantauan pagi ini, dua sungai utama dalam daerah itu iaitu Sungai Muar Kampung Awat dan Sungai Muar Buluh Kasap didapati mencatatkan paras air, masing-masing 19.43 meter dan 8.53 meter berbanding 19.95 meter dan 9.14 meter bagi paras berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 10:06 AM