UJIAN pendengaran oleh pakar untuk mengesan masalah telinga.
MENGOREK telinga dengan putik kapas bukan langkah baik untuk membersihkan telinga.
PENGESANAN masalah telinga oleh pakar dapat mengelak masalah lebih teruk.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Telinga ialah deria yang tidak kurang penting dalam kehidupan manusia, jadi deria itu juga memerlukan penjagaan yang baik untuk memastikan pendengaran sentiasa dalam keadaan sempurna.

Walaupun kebanyakan kita akan mengalami penurunan kualiti pendengaran akibat proses penuaan, pendengaran akan tetap tajam meskipun memasuki usia emas jika anda melindunginya daripada kebisingan melampau.

Berikut beberapa cara boleh dilakukan untuk mencegah penurunan kualiti pendengaran:

1. Kecilkan audio sistem bunyi.

Anda mungkin tidak dapat mengelak daripada kebisingan lalu lintas atau alat pemecah batu dan sumber bunyi terlalu keras lain. Ada sistem bunyi yang mampu menghasilkan kebisingan setara konsert rock, jadi secara mudahnya anda sepatutnya tidak boleh mendengar suara radio dari luar rumah ketika pintu tertutup rapat.

Begitu juga radio di kereta anda serta penggunaan alat pendengar di telinga, sepatutnya orang yang berdiri berdekatan tidak dapat mendengar muzik yang anda nikmati.

2. Sentiasa sediakan penyumbat telinga.

Memasukkan segumpal kapas atau kertas tisu ke lubang telinga tidak berguna untuk mengurangkan risiko kerosakan pendengaran. Sebaiknya biasakan diri membawa alat penyumbat telinga yang kebanyakannya berukuran kecil dan dapat dimasukkan ke dalam saku untuk menghadapi sebarang kebisingan yang tidak diduga.

3. Luangkan waktu untuk berehat.

Semakin lama berada dalam keadaan yang sangat bising tanpa rehat, semakin besar kemungkinan untuk mengalami kerosakan kekal pada pendengaran. Berikan telinga berehat lima hingga 10 minit setiap 30 minit sekali.

4. Jauhkan sumber kebisingan di tempat anda.

Menempatkan beberapa alat atau mesin berbunyi kuat berdekatan akan memburukkan masalah bising. Apabila televisyen berada di ruangan yang sama dengan mesin basuh misalnya, anda mungkin perlu memperbesarkan suara televisyen untuk menonton ketika mencuci pakaian dalam mesin basuh. Jadi letakkan peralatan ini berjauhan.

5. Membersihkan tahi telinga dari dalam telinga.

Menggunakan kapas atau sebarang objek mendatangkan kerugian kerana tahi telinga sebenarnya baik untuk anda. Bahan ini menolak air dan membantu menahan debu agar tidak sampai ke gegendang telinga. Memasukkan benda kecil dalam telinga mendorong tahi telinga ke tempat yang terlalu dalam dan boleh mengundang jangkitan. Cara terbaik adalah membiarkannya di dalam saluran telinga.

Jika berlebihan sehingga mengganggu, berjumpa doktor atau membeli alat pembersih tahi telinga di farmasi seperti ubat titis untuk melembutkan tahi telinga dan membiarkannya mengalir ke luar secara semula jadi dari telinga.

6. Hati-hati ketika mengambil ubat.

Menelan enam hingga lapan tablet aspirin sehari menyebabkan telinga berdengung dan kehilangan pendengaran untuk seketika. Antibiotik seperti gentamicin, streptomicin, dan tobramicin juga dapat merosakkan pendengaran. Jika anda diberi ubat tapi mengalami masalah pendengaran, beritahu masalah ini kepada doktor.

7. Berhenti merokok.

Merokok menyebabkan berkurangnya aliran darah ke telinga dan kerana itu mengganggu proses penyembuhan semula jadi pada pembuluh darah lembut yang terjadi selepas mendengar kebisingan yang terlalu kuat. Dalam satu kajian terhadap 2,348 pekerja yang setiap hari mendengar suara bising di sebuah lapangan terbang, pengkaji di University of Southern California School of Medicine mendapati perokok mengalami kerosakan pendengaran lebih parah berbanding mereka yang bukan perokok.

8. Kurangkan pengambilan kafein.

Seperti nikotin, kafein menolak aliran darah ke telinga, jadi meningkatkan peluang untuk mengalami kerosakan pendengaran. Minum kopi atau teh tetapi tidak lebih daripada dua cawan sehari. Sebaiknya, pilih minuman yang kafeinnya sudah dihilangkan.

9. Seimbangkan pola makan.

Makanan berlemak dan berkolesterol tinggi bukan saja berbahaya untuk jantung malah turut berbahaya bagi telinga. Baik tekanan darah tinggi ataupun gumpalan lemak dalam arteri dapat mengurangkan alirah darah ke telinga dan sedikit demi sedikit merosakkan pendengaran. Diet seimbang yang meliputi sekurangnya-kurangnya lima bahagian buah-buahan dan sayuran, enam bahagian roti dan nasi dan tidak lebih daripada tiga bahagian 150 gram daging merah tanpa lemak, daging ayam, atau ikan.

10. Bersukan.

Anda boleh memilih untuk berjalan pantas, berlari, renang atau latihan aerobik selama 20 minit sehari, tiga kali seminggu. Kegiatan ini akan merangsang peredaran darah, menurunkan tekanan darah dan membantu telinga kekal dalam keadaan terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 10:49 AM