AMALAN gaya hidup sihat mencegah diabetes
KEKALKAN berat badan bersesuaian.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Diabetes antara penyakit yang semakin menunjukkan peningkatan kes di negara ini akibat amalan gaya hidup kurang sihat seperti kurang bersenam dan pengambilan makanan secara berlebihan.

Pada 2015, kaji selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pula mendedahkan 1.8 juta orang iaitu separuh daripada 3.5 juta pesakit diabetes di Malaysia tidak sedar mereka menghidap penyakit kronik itu.

Diabetes ialah penyakit kronik yang berlaku apabila pankreas tidak menghasilkan insulin (hormon yang mengawal paras gula dalam darah) secukupnya atau apabila badan tidak boleh lagi menggunakan insulin yang dihasilkan.

Pada dasarnya, diabetes ialah suatu kecacatan pada keupayaan badan untuk menukar glukosa (gula) kepada tenaga.

Glukosa ialah sumber utama ‘bahan api’ untuk badan kita. Apabila makanan dihadamkan, ia berubah menjadi lemak, protein atau karbohidrat.

Makanan yang memberi kesan kepada paras gula dalam darah dipanggil karbohidrat. Apabila dihadamkan karbohidrat diubah kepada glukosa. Glukosa ini kemudian dipindahkan ke dalam darah sebelum diangkut memasuki sel untuk digunakan sebagai tenaga.

Dalam proses pemindahan glukosa dari darah ke dalam sel inilah insulin diperlukan. lnsulin boleh dianggap sebagai ‘kenderaan’ untuk mengangkut glukosa ke dalam sel. Maka bagi individu yang mempunyai diabetes, ia menjejaskan proses berkenaan.

Diabetes boleh dibahagikan kepada dua iaitu jenis 1 dan 2. Diabetes jenis 1 berlaku disebabkan kerosakan pankreas (sejak lahir) yang menyebabkan insulin tidak dapat dihasilkan. Selain itu, ia juga disebabkan insulin yang dihasilkan rosak dan tidak boleh mengangkut glukosa ke dalam sel.

Diabetes jenis 2 pula disebabkan kegagalan pankreas menghasilkan insulin secukupnya atau badan tidak mampu menggunakan insulin yang dihasilkan.

Hampir 90 hingga 95 peratus pesakit diabetes menghidap diabetes jenis ini yang biasanya membabitkan golongan dewasa. Namun apa yang membimbangkan apabila wujudnya trend ia turut dialami oleh kanak-kanak. Antara faktor penyumbang bagi diabetes jenis 2 termasuk obesiti, peningkatan umur, kekurangan aktiviti fizikal dan kecenderungan genetik.

4 langkah

Pakar Perubatan Keluarga Pusat Kesihatan KPJ Tawakkal Datin Dr Hasliza Abu Hassan berkata, pada peringkat awal diabetes, ramai yang tidak mengalami tanda sekali gus berasakan diri mereka sihat dan akibatnya ramai yang tidak membuat pemeriksaan kesihatan.

Walaupun penyakit ini akan menjejaskan kehidupan harian, ia bukanlah pengakhiran buat mereka. Sebaliknya jika pesakit mampu menjadikan gaya hidup sihat sebagai amalan, diabetes boleh dikawal.

Dr Hasliza menggariskan empat langkah untuk pesakit hidup dengan diabetes. Pertama dengan mengambil tahu mengenai diabetes; kedua, ketahui diabetes ‘ABC’; ketiga, perlu tahu bagaimana hidup dengan diabetes dan keempat; dapatkan rutin penjagaan untuk kekal sihat.

Menurutnya, pesakit perlu mengambil tahu mengenai diabetes agar mereka dapat mengawal penyakit itu daripada terus memberi kesan buruk kepada kesihatan dan lebih teruk mengundang pelbagai penyakit kronik lain.

“Memandangkan seorang daripada lima rakyat Malaysia menghidap diabetes, populasi ini lebih cenderung mengalami kerumitan berkaitan diabetes seperti penyakit kardiovaskular, buta dan kegagalan buah pinggang.

“Jadi amat penting pesakit diabetes mengambil tahu mengenai penyakit ini untuk mengelakkan komplikasi yang mungkin dialami kerana mereka gagal mengawal penyakit itu,” katanya.

Dia berkata, penting bagi pesakit mengetahui ‘ABC’ diabetes, iaitu A (ujian hemoglobin A1C) ujian pengesanan purata paras gula darah untuk menetapkan sasaran 6.5 peratus atau kurang.

Manakala B (blood pressure) tekanan darah harus dipastikan kurang dari bacaan 135/85 mmHg untuk orang dewasa yang tidak mengandung dan; C (cholesterol) iaitu kolesterol jahat LDL perlu dikekalkan pada bacaan bawah 2.6.

Menurut Dr Hasliza,langkah ketiga yang perlu diambil berat oleh pesakit diabetes adalah perlu mengetahui cara hidup dengan penyakit itu dengan mengamalkan cara hidup sihat seperti melakukan aktiviti fizikal secara berkala dan mengamalkan diet seimbang.

Katanya, sekiranya disahkan menghidap diabetes, langkah menyeluruh perlu diambil untuk mengawal penyakit itu. Selain mengambil ubat, makan dalam kuantiti kecil tetapi kerap untuk membantu mengawal paras gula serta kerap bersenam.

Selain itu, dapatkan pemeriksaan doktor atau jururawat setiap tiga bulan sehingga paras gula dalam darah dapat dikawal.

“Sebenarnya sebahagian besar kes diabetes jenis 2 boleh dielakkan. Kajian mendapati perubahan gaya hidup dan sedikit penurunan berat badan dalam lima ke 10 peratus boleh mencegah atau melambatkan kesan penyakit.

“Oleh itu bagi mencegah atau melambatkan diabetes jenis 2, disarankan agar menjaga pemakanan, mengekalkan berat badan unggul, menurunkan berat badan, juga meningkatkan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 150 minit seminggu.

“Mereka juga disarankan untuk melakukan pemeriksaan berkala, saringan dan rawatan untuk risiko kardiovaskular seperti tekanan darah, tahap kolesterol dan obesiti selain mendapatkan rawatan dengan doktor kerana setiap orang memiliki tahap penyakit berbeza,” katanya.

Sementara itu, ada sesetengah kes pesakit mendapat gangguan toleransi glukosa (GTG) apabila mempunyai paras glukosa darah yang tinggi tetapi tidak setinggi gula darah penghidap diabetes.

Dianggarkan sehingga 17 orang mempunyai masalah ini bagi setiap 100 orang penduduk, malah dianggarkan satu pertiga daripada penghidap GTG mendapat diabetes, satu pertiga kekal GTG dan satu pertiga pulih normal.

“Jika pesakit melakukan perubahan dan mendapatkan rawatan, peluang mereka untuk pulih lebih cerah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 10:51 AM