RAWATAN hemodialisis bantu pesakit jalani kehidupan seharian.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Fungsi buah pinggang (ginjal) untuk membersih dan mengeluarkan toksin dalam badan, mengimbangkan elekrolit dan air dalam badan, menjaga kesihatan tulang serta memastikan tahap darah manusia mencukupi.

Bagaimanapun, apabila fungsi buah pinggang semakin merosot, badan akan semakin tenat dan hingga satu tahap keperluan badan tidak lagi dapat dipenuhi oleh buah pinggang.

Tahap ini dipanggil tahap akhir kegagalan buah pinggang, oleh itu dialisis salah satu rawatan yang penting untuk menggantikan fungsi buah pinggang supaya badan kembali sihat dan berfungsi seperti biasa.

Sekiranya pesakit tidak melakukan sebarang rawatan, keadaan mereka akan semakin tenat sehingga koma malah boleh membawa maut.

Pakar Nefrologi Hospital Pantai Ampang Dr Lim Chin Seng berkata, di negara ini terdapat dua jenis dialisis bagi pesakit kegagalan buah pinggang iaitu hemodialisis (HD) dan peritoneal dialisis (PD).

Katanya, bagi hemodialisis, buah pinggang tiruan (hemodializer) digunakan untuk menyingkirkan bahan buangan, bahan kimia dan air berlebihan dari darah pesakit.

“Semasa proses hemodialisis, darah pesakit dipam dalam kadar yang cepat melalui dializer untuk membersihkan bahan kotor dan air berlebihan kemudian dialirkan semula ke dalam badan pesakit.

“Proses ini berterusan selama kira-kira empat jam, tiga hingga empat kali seminggu. Untuk mengalirkan darah pesakit ke dalam buah pinggang tiruan, doktor perlu membuat akses ke dalam saluran darah. Ini dilakukan dengan pembedahan kecil pada lengan atau kaki pesakit.

“Kadang-kadang, akses dibuat dengan menyambung arteri ke vena di bawah kulit pesakit untuk membuat saluran darah yang lebih besar atau AV Fistula,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, jika saluran darah pesakit tidak sesuai untuk fistula, doktor boleh menggunakan tiub plastik lembut untuk menyambungkan arteri dan vena di bawah kulit pesakit (graft).

Menurutnya, adakalanya akses dibuat melalui tiub plastik sempit iaitu kateter yang dimasukkan ke dalam urat besar di leher pesakit dan akses ini sementara, tetapi kadang-kadang boleh digunakan untuk rawatan jangka panjang.

Dr Lim berkata, untuk PD pula darah pesakit dibersihkan dalam abdomen (perut) pesakit. Doktor melakukan pembedahan untuk meletakkan tiub plastik (Tenchoff kateter) ke dalam abdomen untuk dijadikan akses.

Semasa rawatan, katanya, ruang abdomen pesakit (kaviti peritoneal) perlahan-lahan dipenuhi dialisat melalui kateter. Arteri dan vena yang melapisi membran peritoneal pesakit berfungsi sebagai penapis serta menarik keluar air dan bahan buangan berlebihan dari darah pesakit.

Terdapat dua jenis PD iaitu Dialisis Peritoneal Ambulatori Berterusan (CAPD) dan Dialisis Peritoneal Automatik (APD).

Pesakit perlu menukarkan cecair dialisat ke dalam abdomen selepas cecair dialisat yang ditakung sebelum itu mengalir keluar, empat kali sehari, setiap hari.

Menurut Dr Lim, matlamat utama dialisis adalah untuk menggantikan fungsi buah pinggang yang sudah merosot teruk, jadi semasa dialisis, proses itu untuk membuang bahan kotor dan toksin, garam serta air berlebihan selain memastikan tahap sesetengah bahan kimia dan elektrolit seperti potasium, sodium dan bikarbonat dalam badan berada pada lingkungan tidak berbahaya, serta membantu mengawal tekanan darah.

“Kegagalan buah pinggang jenis akut mungkin akan pulih selepas beberapa kali rawatan. Dalam beberapa kes ini, dialisis hanya diperlukan untuk masa yang pendek sehingga buah pinggang menjadi lebih baik.

“Kegagalan buah pinggang kronik atau peringkat akhir menunjukkan buah pinggang pesakit tidak akan pulih dan pesakit perlu buat rawatan dialisis sepanjang hayat,” katanya.

Katanya, banyak percubaan dibuat untuk meningkatkan kecekapan dialisis dan kesihatan pesakit. Untuk HD, percubaan ini termasuk membran lebih serasi secara bio, fluks tinggi dan membran kecekapan tinggi, tempoh dialisis lebih kerap dan lebih lama, penggunaan terapi konveksi, dan penggunaan sistem penyampaian yang mesra pengguna.

Untuk PD, pengenalan mesin automatik meningkatkan keberkesanan rawatan dan memudahkan cara rawatan untuk sesetengah pesakit.

Selain dialisis, katanya, pemindahan buah pinggang adalah satu operasi yang meletakkan buah pinggang yang sihat daripada penderma ke dalam badan pesakit yang mungkin datang daripada seseorang yang sudah meninggal dunia atau daripada penderma hidup yang mungkin saudara terdekat, pasangan atau rakan.

Ia juga boleh datang daripada seseorang yang ingin menderma buah pinggang kepada sesiapa yang memerlukan pemindahan. Bagaimanapun, pemindahan buah pinggang ialah suatu rawatan, bukan penawar dan amat penting untuk menjaga buah pinggang baru dengan rapi.

Mengenai kesan sampingan yang mungkin berlaku kepada pesakit semasa rawatan dialisis, Dr Lim berkata, tekanan darah rendah (hipotensi) dengan gejala seperti kejang otot, telinga berdengung, pening atau muntah, kulit gatal, masalah tidur dan sukar bernafas kerana air berlebihan antara kesan yang mungkin berlaku kepada pesakit.

Bagaimanapun, katanya, dengan penjagaan profesional pakar nefrologi dan pusat hemodialisis yang bertaraf baik, kesan sampingan jarang berlaku atau tidak akan berlarutan.

“Pesakit juga boleh meneruskan kehidupannya seperti biasa semasa menjalani dialisis dengan mengawal tahap gula untuk pesakit kencing manis, mengawal tahap bacaan tekanan darah supaya berada pada paras sihat dan mencapai tahap kolesterol yang sihat.

“Selain itu mereka boleh melakukan aktiviti sihat dan aktiviti fizikal mencukupi dan mengikuti nasihat doktor dari segi penjagaan makanan dan pengambilan air yang tidak berlebihan selain berhenti merokok serta mengurangkan stres,” katanya.

Risiko kesihatan berkaitan dialisis

1. Anemia. Tidak mempunyai sel darah merah mencukupi dalam darah adalah satu komplikasi biasa kegagalan buah pinggang dan hemodialisis.

Kegagalan buah pinggang mengurangkan pengeluaran hormon erithropoietin yang merangsang pembentukan sel darah merah. Tetapi masalah ini boleh diatasi dengan memberikan suntikan erithropoeitin untuk pesakit.

2. Penyakit tulang. Pengeluaran hormon paratiroid berlebihan - komplikasi biasa kegagalan buah pinggang yang boleh melepaskan kalsium daripada tulang pesakit. Kawalan diet yang sesuai amat

penting untuk mengelakkan masalah ini. Jadi, kaunseling pemakanan perlu diberikan setiap masa supaya pesakit sentiasa diingatkan pentingnya kawalan makanan yang sesuai.

3.Tekanan darah tinggi (hipertensi). Pengambilan kandungan garam atau minum cecair terlalu banyak, tekanan darah tinggi pesakit mungkin menjadi tidak terkawal dan melambung tinggi meningkatkan risiko jantung atau strok. Pakar nefrologi sentiasa mengawasi bacaan tekanan darah pesakit supaya ia sentiasa dalam paras selamat.

4.Tahap potasium tinggi (hiperkalemia)

Boleh menyebabkan jantung pesakit berhenti. Jadi tahap potasium pesakit perlu diawasi serta memberi kaunseling supaya pesakit mengurangkan pengambilan makanan yang ada potasium tinggi dan sentiasa menghadiri rawatan dialisis yang dijadualkan.

5.Komplikasi salur darah akses

AV fistula atau graft mungkin dijangkiti kuman, menjadi sempit, dinding saluran darah menjadi belon (aneurisme) atau tersumbat. Pengesanan awal akses salur darah sangat penting untuk menjaga kesihatan pesakit.

6.Amiloidosis berkaitan dialisis terjadi apabila protein dalam darah yang disimpan pada sendi dan tendon, menyebabkan kesakitan, kaku serta bendalir dalam sendi.

7.Kemurungan. Perubahan mood biasa berlaku pada pesakit kegagalan buah pinggang. Oleh itu, pentingnya sokongan daripada ahli keluarga dan anggota pusat dialisis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 10:55 AM