Sarah Zulkifli


Kajang: Dua puluh sembilan lelaki termasuk seorang bergelar datuk didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada Datuk M Kalai Arasu, 45, dan 28 lagi yang berusia antara 21 tahun hingga 61 tahun sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Noridah Adam.

Ini berikutan kes berkenaan akan dibicarakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Tertuduh lain adalah M Mohan, P Subramaniam, S Ravindran, S Raman, RP Ponniah, E Shanmuhanathan, A Karpanah, JJ Jignasevaran, R Prem Raj, V Arivalagan, R Suresh Kumar, M Thananbalan, M Saravanan, R Sundran, AKR Erethai Pragash, T Ravendaran, M Danes, S Siveneswaran, VAR Vigny Alfred Raj, R Subramaniam, R Kannan, M Saravanan, M Jayakumar, P Karthik, I Ravindran, S Krishna, Mohamad Sarif Abd Karim dan R Yogendran.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan 'Geng 360 Devan' antara 1 Januari 2015 danFebruari lalu di alamat MV Empayer Sdn Bhd, di No 1, Jalan Perniagaan Masria 1, Pusat Perniagaan Masria, Batu 9, Cheras, di sini.

Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 18 April ini sebagai sebutan semula kes.

Terdahulu, kira-kira 20 tertuduh tiba di kompleks mahkamah ini dengan dikawal ketat anggota polis dan Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) pada 7.40 pagi manakala selebihnya tiba pada 8.20 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 11:59 AM
ANTARA 29 lelaki didakwa ahli geng '360 Devan' termasuk seorang Datuk didakwa Mahkamah Majistret Kajang. FOTO Mohd Yusni Ariffin