TERTUDUH (tengah) diiringi anggota polis di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Bapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan melakukan sumbang mahram ke atas anak kandungnya pada November 2011.

Tertuduh yang juga seorang kontraktor berusia 51 tahun dari Melaka membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram ke atas anak perempuannya berusia 17 tahun ketika kejadian pada 12.30 tengah malam, November 2011.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi memohon mahkamah untuk tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh atas faktor hubungan bapa dan anak, selain tertuduh tinggal serumah dengan mangsa.

Bagaimanapun, Peguam Bela Ishak Kari merayu budi bicara mahkamah untuk membenarkan jaminan.

Selepas mendengar hujah dan rayuan kedua-dua pihak, Ahmad Sazali memutuskan untuk tidak menawarkan jaminan serta menetapkan 27 Mac ini bagi sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 1:11 PM