Keadaan Ahmad Azfar yang semakin pulih selepas dirawat di Hospital Seberang Jaya. FOTO ihsan pembaca
Shamsul Munir Safini


Bukit Mertajam: Kanak-kanak berusia 12 tahun yang koma akibat disengat obor-obor pada 26 Februari lalu, dilaporkan stabil di Hospital Seberang Jaya, di sini.

Ahmad Azfar Hakim Zainudin disengat ketika mandi di Pantai Teluk Bahang bersama keluarga.

Bapanya, Zainudin Zakaria, 48, berkata, anaknya disengat di tangan dan paha sebelum mengadu pedih dan gatal.

"Saya menyapu cuka dan membawanya ke klinik swasta namun klinik memberitahu tidak mempunyai ubat untuk kes sedemikian.

"Tiga hari selepas itu, keadaan anak saya semakin teruk dan mengadu sesak nafas sebelum saya membawanya ke Hospital Bukit Mertajam," katanya.

Menurutnya, akibat keadaan Azfar yang semakin buruk, dia dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Zainudin berkata, selepas mendapat rawatan berterusan, anaknya semakin pulih dan mula menunjukkan perubahan.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Sukumar Mahesan berkata, sehingga semalam, sebanyak 10 pesakit mendapatkan rawatan di klinik kesihatan di negeri ini termasuk kanak-kanak berkenaan yang dirawat di HSJ.

"Kejadian disengat obor-obor sentiasa berlaku dan ia bermusim," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 9:34 PM