GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Agensi

Jakarta: Jumlah penduduk miskin di Indonesia semakin berkurangan.

Menurut Agensi Pusat Statistik (BPS) dalam data terbaru mengenai perkara itu yang dikeluarkan semalam, jumlah penduduk miskin di Indonesia sehingga September lalu ialah 27.73 juta orang atau 10.96 peratus daripada populasi negara itu.

Ketua BPS Suryamin berkata, jumlah itu berkurangan jika dibandingan pada Mac 2014 yang menyaksikan seramai 28 juta orang atau 11.25 peratus daripada keseluruhan penduduk Indonesia hidup dalam kemiskinan.

Dia bagaimanapun tidak dapat menjamin sama ada jumlah penduduk miskin Indonesia akan terus berkurangan, lebih-lebih lagi selepas kerajaan menaikkan harga minyak bersubsidi yang memberi kesan kepada kos pengangkutan dan harga barang keperluan tahun lalu.

“Perlu diingat, data terbaru ini tidak menunjukkan kesan kenaikan harga minyak,” katanya.

Suryamin juga berkata, jumlah penduduk miskin berkurangan pada tempoh kedua pemerintahan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dari 2009 hingga 2014 walaupun perlahan.

Angka kemiskinan pada 2009 mencecah 14.45 peratus dan turun 10.96 peratus sehingga September 2014.

“Penurunan makin lama makin kecil kerana yang ada sekarang ialah mereka yang miskin tegar.

“Jika tidak ada usaha untuk membantu mereka, kadar penurunan mungkin malar,” kata Suryamin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:04 AM