AFP

Abu Dhabi: Andy Murray menempah pertemuan separuh akhir dengan Rafael Nadal pada Kejohanan Tenis Dunia Mubadala selepas bertarung hebat sebelum meraih kemenangan 7-6 (7/1), 5-7, 6-4 ke atas pemain Sepanyol, Feliciano Lopez, awal pagi semalam.

Murray, 27, memerlukan lima mata penamat sebelum mengesahkan kemenangan dan dia memburu kemenangan berganda ke atas Nadal pada kejohanan pertunjukan Abu Dhabi itu selepas mengalahkan pemain utama Sepanyol itu pada final 2009.

“Ia amat bagus,” kata Murray. “Kami bermain dua setengah jam dan ia perlawanan berkualiti tinggi. Ada ketikanya dalam beberapa permainan tahapnya menurun sedikit, tapi ada banyak pukulan rali yang bagus.

“Lopez seorang lawan berbeza berbanding kebanyakan pemain dalam jelajah dan ia satu ujian yang bagus dan saya gembira melepasi satu perlawanan baik dalam tempoh dua setengah jam dan kompetitif bagi memulakan tahun baru.”

Murray berkata, dia teruja untuk berdepan Nadal ketika pemain ternama dunia menggunakan kejohanan pertunjukan tiga hari itu sebagai medan pemanas badan menjelang musim baru ATP yang bemula hujung minggu ini.

“Apabila tidak bermain selepas seketika, biasanya anda bangun pagi agak liat dan berasa kurang segar,” jelas Murray.

“Saya mahu lihat bagaimana saya bangun pagi esok, namun bagus buat saya mampu menguji diri menentang Rafa dan saya akan terus cuba meningkat.

“Saya kini berdepan dua perlawanan lagi di sini, sesuatu yang sempurna dan apa yang dimahukan pemain.”

Pada perlawanan lewat, juara Terbuka Australia, Stanislas Wawrinka mudah mengatasi pemain Sepanyol, Nicolas Almagro 6-3, 6-2. Wawrinka akan berdepan pemain nombor satu dunia Novak Djokovic pada separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:07 AM