Mayat mangsa yang ditemui dalam kereta, dibawa keluar untuk dihantar ke hospital. - Foto MOHAMMAD ISHAK
Mayat mangsa yang ditemui dalam kereta, dibawa keluar untuk dihantar ke hospital. - Foto MOHAMMAD ISHAK
Mohammad Ishak


Jertih: Seorang lelaki ditemui mati dalam kereta di depan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih di sini, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Zamrin Mat Salleh @ Sallehuddin, 41, pengusaha kedai makan dari Kampung Alur Selinsing dekat sini, ditemui orang awam pada 9.40 pagi, terbaring dalam sebuah kereta Perodua Kelisa.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Zakaria berkata, ketika ditemui mayat mangsa terbaring di kerusi pemandu, dipercayai mati mengejut.

"Sebelum kejadian mangsa dikatakan datang ke taman rekreasi di Padang Astaka Jertih untuk berjoging dan selepas selesai, masuk ke dalam keretanya.

“Difahamkan mangsa adalah pesakit jantung dan dia dipercayai tidak sedarkan diri sebaik masuk ke dalam kereta sebelum mayatnya ditemui orang ramai.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 4:08 PM