Sebahagian pemandu teksi yang mengadakan bantahan pagi tadi. FOTO Syazwan Msar
Syazwan Msar


Subang Jaya: Mesyuarat Agung Khas Gabungan Persatuan dan Syarikat-Syarikat Teksi Semenanjung Malaysia (Gabungan) yang sepatutnya diadakan pagi tadi di Sunway Lagoon Club, di sini, terpaksa dibatalkan selepas sekumpulan pemandu teksi mengadakan bantahan hingga menyebabkan kekecohan.

Situasi yang berlanjutan hampir sejam itu menyebabkan beberapa anggota polis dikerahkan mengawal keadaan seterusnya mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi SeMalaysia Zailani Isausuludin berkata, kira-kira 60 pemandu teksi berkumpul di depan Sunway Lagoon Club sejak awal pagi bagi membantah mesyuarat agung khas itu.

"Antara intipati mesyuarat agung itu ialah menandatangani memorandum bersama pihak Uber untuk memulakan projek 'pilot' menggunakan 500 teksi.

"Perkara itu tidak dipersetujui kerana tidak membantu pemandu teksi yang semakin tersepit berikutan kekurangan sumber pendapatan," katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 5:45 PM