DJ Dave akan bekerjasama dengan Tan Sri Jojo. FOTO DJ DAVE/HM
DJ Dave akan bekerjasama dengan Tan Sri Jojo. FOTO DJ DAVE/HM
Nor Akmar Samudin


Kuala Lumpur : Yayasan Artis 1Malaysia akan bekerjasama dengan ahli perniagaan terkenal, Tan Sri Syed Mohd Yusof Syed Nasir atau Jojo untuk menganjurkan konsert Ben Nathan di Saloma Bistro, di sini, sebelum Ramadan tahun ini.

Pengerusinya, Datuk DJ Dave berkata, konsert itu untuk memberi peluang kepada Ben yang sebelum ini hidup sebagai gelandangan membuat persembahan dan menghiburkan peminatnya.

“Dalam keadaannya sekarang, Ben memerlukan sokongan pelbagai pihak. Minat Ben terhadap nyanyian tidak pernah pudar, malah dia masih ingat semua lagunya dan dia juga menghafal lagu nyanyian saya.

“Jika berbual dengannya mengenai perkara lain, dia akan tetap bercerita mengenai muzik. Konsert ini juga bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantunya,” katanya.

Menurut Dave, penyanyi lain seperti Datuk Zainal Abidin juga sudah menyatakan persetujuan untuk membuat persembahan di konsert itu secara percuma," katanya.

Ben kini masih ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas dimasukkan ke situ sejak 3 Februari lalu.

Dave berkata, pihaknya turut memberi sumbangan kepada keluarga Ben untuk membelikan makanan kerana Ben dikatakan sudah jemu menjamah makanan yang disediakan hospital.

“Keluarga Ben juga menyerahkan sepenuh tanggungjawab kepada saya untuk menjaga dan menguruskannya.

“Ia bukan bermaksud mereka tidak mahu menjaga Ben, tetapi mereka bimbang dia akan mengamuk dan lari dari rumah menjadi geladangan semula. Mereka juga melawatnya setiap hari di hospital,” katanya.

Dave berkata, dia dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan melawatnya di HKL, esok dan mereka akan membantu untuk mencari tempat perlindungan untuknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 7:35 PM