Maya Karin bawa watak utama. FOTO HM
Maya Karin bawa watak utama. FOTO HM
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pengarah Syamsul Yusof mengesahkan pelakon jelita Maya Karin akan membawa watak utama dalam filem Munafik 2 yang akan dilancarkan, Khamis ini.

Syamsul yang juga pelakon utama filem itu menjelaskan, ketiadaan Nabila Huda dalam sekuel filem ini kerana watak Maria yang dibawanya sebelum ini sudah mati.

"Nabila tak berlakon bukan sebab dia menolak, tapi saya tak ambil. Saya juga yang memilih Maya dan ia memang betul," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurut Syamsul, dalam Munafik 2 masih ada watak Maria tetapi hanya untuk babak imbas kembali dan akan dibawa oleh pelakon lain.

“Saya tak terkejut pun dengan keputusan ini kerana saya juga yang menulis skripnya. Watak Maria memang sudah dimatikan dan tak boleh disambung," katanya.

Dalam pada itu, Syamsul yang juga Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM 28) lalu, turut menafikan lakonan Nabila adalah penanda aras kepada kejayaan filem itu.

"Skrip dan pengarahan adalah penanda aras filem ini. Kekuatan sesebuah filem bukan terletak kepada seorang pelakon saja.

"Ia terbukti dengan lambakan filem tak laku walaupun dibintangi pelakon terkenal,” katanya.

Filem Munafik yang ditayangkan pada Februari tahun lalu mencipta sejarah dalam industri perfileman tempatan apabila mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM19 juta.

Terdahulu, Harian Metro hari ini melaporkan Nabila mengesahkan dia tidak terbabit dalam Munafik 2 kerana terbabit dengan penggambaran drama bersiri 100 episod bermula April ini hingga Januari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 8:11 PM
Digital NSTP Subscribe