JAMAL cari sendiri peluang untuk adakan persembahan.
JAMAL cari sendiri peluang untuk adakan persembahan.
Georgie Joseph


Pada tahap sekarang, Datuk Jamal Abdillah sebenarnya sudah boleh bersenang-lenang dengan legasi seni yang diciptanya.

Penyanyi yang digelar raja pop ini jelas tiada tandingan dalam industri muzik tanah air.

Hakikatnya, kehebatan nyanyiannya terus ditagih peminat. Permintaan untuk mengadakan persembahan tidak pernah putus buat Jamal.

Walaupun laris, tetapi tiada istilah bersenang-lenang buat penyanyi berusia 57 tahun ini. Setiap hari dia bekerja keras untuk memastikan kerjayanya terus mekar.

“Bukan setakat menjayakan persembahan semata-mata, saya sendiri yang menghubungi pihak istana, kementerian atau agensi kerajaan mengenai sebarang tawaran persembahan.

“Biasanya ia dilakukan saya sendiri dan pembantu peribadi. Jika saya menghantar surat kepada pihak istana atau kementerian, susulannya akan dilakukan pembantu peribadi saya.

“Biar kita cari kerja, bukan kerja cari kita,” katanya.

Ditanya sama ada dia bersetuju untuk menyertai mana-mana program realiti di Malaysia, Jamal berkata, pada dasarnya dia bersikap terbuka jika ia turut membabitkan anaknya, Osama.

Jamal berkata, dia sudah dirisik untuk menyertai sebuah pertandingan anjuran sebuah stesen TV apabila konsepnya menggabungkan penyanyi dan anak.

“Saya melihat ia pertandingan yang tepat untuk Osama jadikan batu loncatan. Lagipun, saya yakin dengan kemampuannya dan pasti gabungan kami menjadi.

“Bagaimanapun, Osama akan lebih diketengahkan jika kami bertanding dalam program itu nanti,” katanya.

Berkongsi mengenai perancangannya tahun ini, Jamal merancang mengadakan konsert lagi selepas kejayaan konsertnya di Istana Budaya, Kuala Lumpur bersama Ameng dan Zamani, tahun lalu.

“Saya masih tercari-cari konsep baru yang mahu diketengahkan dalam konsert. Seronok rasanya apabila konsert tahun lalu itu berjaya.

“Semestinya saya mahu bekerjasama lagi dengan artis lain tetapi belum nampak idea apa yang baru dan sesuai,” katanya.

Sementara itu, Jamal akan beraksi dalam persembahan istimewa sempena Minggu Setiausaha di Tamingsari Grand Ballroom, Hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 11 April ini.

Apa yang pasti, penyanyi legenda ini akan menampilkan pembaharuan pada persembahan kali ini dengan membuka segmen permintaan lagu daripada jemputan dan dia nyanyikannya secara spontan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 5:02 AM