GAMBAR hiasan


Taiping: Lelaki parah dipercayai ditikam menggunakan pisau oleh lelaki lain yang dikenalinya di tepi jalan berdekatan rumah di belakang Capitol Club di sini, semalam.

Dalam kejadian 2 petang itu, polis dimaklumkan oleh Hospital Taiping selepas mangsa berusia 34 tahun dihantar ke hospital berkenaan untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, mangsa parah selepas dipercayai ditikam di leher dan dua tikaman dibahagian perut.

Katanya, polis kemudiannya menjalankan siasatan dan menahan lelaki berusia 57 tahun berdekatan lokasi kejadian dipercayai suspek yang menikam mangsa.

Menurutnya, polis turut merampas pisau dipercayai digunakannya dan ujian air kencing mendapati suspek yang bekerja sebagai buruh positif dadah.

"Polis masih belum dapat mengambil rakaman percakapan mangsa disebabkan masih belum sedarkan diri dan berada dalam ICU (Unit Rawatan Rapi).

"Suspek direman selama enam hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Harrith berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan masalah peribadi antara mangsa dan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 1:59 PM